Olimpik Tokyo dalam kebimbangan

LAUSANNE, 17 JULAI – Ketua Olimpik membuat perjumpaan pada Jumaat lalu untuk membincangkan mengenai rancangan untuk meneruskan Sukan Tokyo tahun depan dan Jepun juga dikejutkan setelah mencatat sejumlah kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari.

Tokyo berada pada tahap waspada terhadap wabak COVID-19 setelah lonjakan kes baharu, Gabenor Yuriko Koike memberi amaran baru-baru ini, kerana para pakar mengatakan peningkatan jangkitan semakin bahaya. Jepun telah mencatatkan lebih dari 22,500 kes dan hampir 1,000 kes kematian sejak virus itu pertama kali melanda di negara itu. Walau bagaimanapun, tidak ada kes kematian kerana koronavirus di bandar Tokyo selama tiga minggu kebelakangan ini.

Sempadan Jepun terus ditutup dengan tidak membenarkan lebih dari 100 negara untuk masuk, bahkan penduduk tetap asing tidak dibenarkan untuk keluar, tetapi kerajaan telah melancarkan perjalanan pelancongan domestik yang menjadi sasaran kekhuatiran kerana ia dapat menyebabkan lagi penularan virus ke seluruh negara.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), yang mengadakan mesyuarat Lembaga Eksekutif dalam talian dan Sesi IOC ke-136, akan meminta pasukan petugas Olimpik Tokyo mereka untuk memberikan beberapa jawapan ketika merancang meneruskan untuk penganjuran acara bernilai berbilion-bilion dolar itu. Mesyuarat itu diadakan hanya dua hari sebelum pilihan raya untuk gabenor Tokyo, dengan Koike yang dijangka memenanginya untuk penggal kedua.

Dalam wawancara baru-baru ini dengan AFP, Koike mengatakan dia terus berusaha sedaya upaya dalam memerangi virus itu untuk mengadakan Sukan Olimpik dengan penuh harapan.

Tetapi saingan Koike, Taro Yamamoto, mengatakan dia akan membatalkan Olimpik Tokyo kerana kebimbangan yang semakin meningkat dengan Sukan Musim Panas itu, yang sekarang akan bermula pada 23 Julai 2021 setelah penangguhannya selama satu tahun pertama kali dalam sejarah kerana COVID-19.

Lebih daripada separuh penduduk Tokyo tidak menyangka Sukan itu akan diadakan tahun depan, yang menyokong penangguhan atau pembatalan secara langsung. – AFP

Logo Sukan Olimpik di Odaiba, Tokyo pada 6 Jun lalu. Masa Takaya, jurucakap Olimpik Tokyo, mengatakan sukan yang ditangguhkan dapat diadakan pada tahun 2021 walaupun ada tinjauan baru-baru ini mengatakan mereka tidak percaya ia dapat diteruskan tahun hadapan. – AP