Olimpik Tokyo kumpul AS$3.3 bilion penaja tempatan

TOKYO, 25 JUN – Penaja tempatan Olimpik berjaya mengumpulkan AS$3.3 bilion untuk menyokong Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan.

Jumlah itu sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih banyak daripada Sukan Olimpik sebelumnya dan berjumlah hampir 60 peratus daripada pendapatan untuk belanjawan operasi yang dibiayai pihak swasta.

Sebanyak 14 peratus lagi pendapatan dianggarkan dari penjualan tiket, yang mungkin terjejas sekiranya tempat-tempat duduk kosong kemungkinan disebabkan oleh COVID-19.

Dengan upacara sukan yang ditangguhkan selama setahun, penaja akan diminta untuk mendaftar sekali lagi. Jurucakap Tokyo, Masa Takaya mengatakan perbincangan akan dimulakan bulan depan.

“Kami merancang untuk mula bertemu dengan syarikat-syarikat tersebut, termasuk pengaturan dan isi kontrak, dalam waktu terdekat,” kata Takaya minggu ini dalam taklimat dalam talian.

Penduduk awam memakai penutup mulut dan hidung berjalan melewati logo Olimpik berhampiran Stadium Nasional baharu di Tokyo. Penaja tempatan Jepun berjaya mengumpulkan AS$3.3 bilion untuk menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan. – AP

Satu tinjauan pendapat yang diterbitkan awal bulan ini oleh penyiar Jepun NHK mengatakan dua pertiga penaja tidak dapat dipastikan untuk melanjutkan untuk satu tahun lagi. Sebanyak 67 syarikat telah mendaftar sebagai penaja tempatan untuk Sukan Olimpik atau Paralimpik, yang diketuai oleh Dentsu Inc, agensi pengiklanan gergasi Jepun yang berfungsi sebagai agensi pemasaran eksklusif untuk Olimpik Tokyo 2020.

Penganjur Tokyo juga mengatakan bahawa mereka harus melakukan perundingan semula kontrak dengan 11 penaja TOP yang disebut, yang juga mempunyai kontrak jangka panjang dengan IOC.

Akhbar Jepun Asahi melaporkan minggu ini, dengan tidak menyebut sumbernya, bahawa penganjur akan meminta “lebih banyak pembayaran yuran penaja.”

Ini bagaimanapun akan menghadapi bantahan, dengan banyak syarikat yang berjuang menghadapi wabak dan kehilangan pendapatan. Penganjur tidak dapat berdepan pengurangan pendapatan.

Anggaran kerugian tempatan menunjukkan ia akan menelan belanja AS$2 bilion hingga AS$6 bilion.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang berpangkalan di Switzerland mengatakan bahawa ia akan mengumpulkan AS$650 juta untuk menampung kos penangguhan. – AP