Olimpik Tokyo lebih AS$12 bilion?

TOKYO, 20 DIS – Para penganjur Olimpik Tokyo berkata hari ini bahawa mereka akan memperuntukkan AS$12.6 bilion untuk menganjurkan kejohanan sukan Olimpik tahun hadapan.

Penganjur berkata perbelanjaan itu tidak berubah dari setahun yang lalu, walaupun penajaan dan jualan tiket yang kukuh telah menghasilkan dana kontingensi tambahan AS$30 juta. Walau bagaimanapun, Lembaga Audit Negara Jepun, dalam laporan 177 muka surat yang disediakan untuk badan perundangan kebangsaan, berkata peruntukan bagi Olimpik tahun 2020 dijangka akan lebih tinggi lagi.

Audit itu menyenaraikan tambahan sebanyak AS$9.7 bilion yang dikatakan adalah kos berkaitan Olimpik yang belum lagi dimasukkan. Di samping itu, bandar Tokyo sebelum ini berkata ia akan membelanjakan lagi peruntukan tambahan sebanyak AS$7.4 bilion untuk projek berkaitan Olimpik.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike berkata pada masa itu perbelanjaan hanya ‘untuk projek secara langsung dan tidak berkaitan langsung dengan kejohanan itu.’

Beliau berkata ini termasuk kemudahan percuma untuk atlet Paralimpik, program latihan untuk sukarelawan, dan rancangan pengiklanan dan pelancongan. Penganjur berkata bahawa kebanyakan kos ini tidak terikat secara langsung dalam peruntukan sukan Olimpik. Bagaimanapun, lembaga audit telah menghasilkan penemuan serupa setahun yang lalu.

Akhbar kewangan Jepun Nikkei dan akhbar harian Asahi juga turut menganggarkan kos kejohanan berkenaan.

Mereka berkata peruntukan dalam kejohanan itu adalah jauh lebih tinggi. Mereka juga meletakkan perbelanjaan keseluruhan pada kira-kira AS$28 bilion. – AP

Stadium Kebangsaan Jepun baharu yang akan digunakan untuk Kejohanan Sukan Olimpik 2020. – AFP