Olimpik Tokyo ‘paling mencabar’ tutup tirai

TOKYO, 8 OGOS – Sukan Tokyo 2020 diisytiharkan menutup tirainya hari ini oleh ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, yang mengatakan bahawa itu adalah ‘perjalanan Olimpik yang paling mencabar’ setelah ditangguhkan oleh pandemik dan ancaman pembatalan selama setahun.

Bach menyebut Sukan Tokyo ‘belum pernah terjadi sebelumnya’ ketika dia bercakap di Stadium Olimpik dengan kapasiti 68,000 tempat duduk, yang kosong ketika Jepun memerangi wabak koronavirus.

“Pada saat-saat sukar yang kita lalui, anda memberikan hadiah yang paling berharga kepada dunia iaitu harapan,” kata presiden IOC kepada atlet pada majlis itu.

“Dan sekarang saya harus menandakan berakhirnya perjalanan Olimpik yang paling mencabar Tokyo: Saya mengisytiharkan Sukan Olimpik ke-32 ditutup,” kata Bach.

Ia menandakan berakhirnya Olimpik luar biasa yang kebanyakannya dimain di tempat kosong dengan hanya atlet, pegawai pasukan dan media yang hadir.

Persembahan bunga api semasa upacara penutup Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik semalam di Tokyo, Jepun. – AP

Atlet telah hidup dalam keadaan gelembung biokeselamatan yang ketat dengan penjarakan sosial di perkampungan sukan dan perlu memakai penutup mulut dan hidung kecuali ketika makan, tidur, latihan atau bertanding.

Ketika bendera Olimpik diserahkan kepada datuk bandar Paris, Anne Hidalgo untuk Sukan 2024, rakaman langsung menunjukkan orang ramai bersorak di ibu kota Perancis sangat berbeza dengan Tokyo.

Bach telah menjelaskan bagaimana IOC mempertimbangkan untuk membatalkan Olimpik dan menuntut kos pada polisi insuransnya tetapi mengatakan para pegawai berjanji untuk mengadakan sukan ‘untuk para atlet’.

Hari ini, kemuncak acara sukan terbesar sejak wabak itu, Eliya Kipchoge dari Kenya memenangi maraton lelaki dan AS mengalahkan China di tangga teratas pingat.

AS mencatat kemenangan dalam bola tampar, acara trek berbasikal dan bola keranjang untuk menduduki tempat teratas dengan 39 pingat emas, hanya satu di atas China.

Dengan Jepun berjaya merangkul 27 emas untuk menduduki tempat ketiga telah memenangi hati penonton. Britain berada di kedudukan keempat dengan 22 emas dan Komiti Olimpik Rusia, pasukan untuk atlet Rusia berada di kedudukan kelima dengan 20. – AFP