TOKYO, 24 DIS – Pegawai Sukan Olimpik Tokyo berkata hari ini bahawa mereka telah mencapai ‘perjanjian asas’ dengan kesemua 68 penaja domestik untuk melanjutkan kontrak mereka ke tahun hadapan bagi menyokong Sukan Olimpik yang tertunda.
Penaja domestik Jepun memberikan rekod sebanyak AS$3.3 bilion kepada peruntukan operasi tempatan.
Angka tersebut sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih besar berbanding sukan Olimpik terdahulu dan diterajui oleh Dentsu Inc, syarikat pemasaran gergasi Jepun yang turut menjadi ejen pemasaran bagi Sukan Olimpik Tokyo.
Pegawai tidak segera memberikan butiran kewangan atau terma kontrak lanjutan semasa sidang secara dalam talian. Mereka berkata kontrak masih dimuktamadkan.
Akhbar Jepun, Nikkei melaporkan awal bulan ini – memetik sumber terdekat – bahawa sebanyak 15 buah syarikat yang dikenali sebagai ‘Gold Partners’ akan menyumbangkan tambahan 1 bilion yen setiap syarikat. Ia bersamaan dengan AS$10 juta setiap syarikat.
Sebahagian daripada Gold Partners termasuk Canon, Fujitsu dan Kumpulan Kewangan Mizuno. Nikkei turut menjadi penaja domestik bersama dengan akhbar lain seperti Asahi, Mainichi, Yomiuri dan beberapa buah syarikat akhbar yang kecil.
Penaja seperti syarikat penerbangan ANA dan syarikat penerbangan Jepun, antara yang bergelut semasa pandemik, turut dilaporkan memberi sumbangan. Penganjur Sukan Olimpik Tokyo mengumumkan awal minggu ini bahawa peruntukan baharu, kos tambahan disebabkan penundaan dan kos mengadakan Olimpik semasa pandemik, meningkat AS$2.8 bilion, menjadikan angka rasmi kepada AS$15.4 bilion.
Audit kerajaan selama beberapa tahun menunjukkan jumlah keseluruhan berkemungkinan hampir kepada AS$25 bilion. Kesemuanya kecuali AS$6.7 bilion adalah dana awam. Pegawai Tokyo berkata Sukan Olimpik Tokyo akan memperuntukkan kos kira-kira AS$7.5 bilion ketika mereka memenangi bidaan pada 2013 dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. – AP































