Olimpik Tokyo umum peraturan penonton

TOKYO, 23 JUN – Tiada alkohol, tiada pelukan, tiada sorakan dan tiada autograf: Penganjur Olimpik Tokyo mengumumkan peraturan ketat baharu untuk penonton pada Sukan Olimpik hari ini, ketika mereka menandakan sebulan sehingga acara pembukaan bermula.

Presiden Tokyo 2020, Seiko Hashomoto mengingatkan suasana berpesta ‘perlu dihentikan’ untuk menjamin keselamatan acara itu, dan mengaku penganjur perlu bersikap ‘kreatif’ untuk memeriahkan suasana.

Ketua penganjur memutuskan pada Isnin untuk membenarkan se-hingga 10,000 penonton dalam tempat pertandingan, namun Hashimoto mengingatkan mereka supaya jangan menjangkakan suasana perayaan yang dinikmati sekarang oleh peminat bola sepak pada Euro 2020.

“Di Eropah, tempat dipenuhi dengan suasana berpesta,” katanya.

“Malangnya kami tidak boleh berbuat yang sama di sini.”

Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa John Coates (dua kanan) dan Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020 Seiko Hashimoto (kanan) mendengar taklimat oleh Koichi Fukui (kiri) ketika mereka memeriksa salah satu venue Olimpik di Tokyo, kelmarin. – AP

Penonton perlu menjalani beberapa peraturan antivirus, termasuk pemeriksaan suhu dan pemakaian penutup mulut dan hidung sebelum memasuki tempat, dan bayaran balik tidak diberikan kepada mereka yang gagal dalam ujian berkenaan.

Di dalam, mereka dilarang daripada bersorak atau ‘mengadakan kontak de-ngan penonton lain’ dan akan diminta pulang selepas acara berakhir.

Meminta autograf daripada atlet atau ‘menyatakan sokongan lisan’ juga dilarang, begitu juga mengibarkan tuala atau ‘sebarang bentuk sorakan yang mungkin mewujudkan suasana berpesta.’

“Suasana berpesta perlu dielakkan – ia telah menimbulkan cabaran besar,” beritahu Hashimoto kepada wartawan.

Penonton juga perlu mengelak alkohol, walaupun ia dibenarkan pada aca-ra sukan lain yang sedang diadakan di Jepun.

Hashimoto berkata pengharaman diputuskan ‘untuk meredakan kebimbangan orang awam semampu mungkin.’

Jurucakap kerajaan Jepun Katsunobu Kato berkata ‘adalah penting garis panduan dilaksanakan’ supaya peminat boleh ‘menyaksikan sukan itu dalam keadaan yang selamat.’ – AFP