ITALY, 6 SEPT – Miguel Oliveira akan berpindah daripada pasukan Aprilia untuk menyertai pasukan baharu Yamaha-Pramac dalam saingan MotoGP pada 2025, umum pengeluar Jepun itu kelmarin.
Pelumba dari Portugal itu menandatangani kontrak untuk musim 2025-26 MotoGP, kata Yamaha sehari sebelum perlumbaan GP San Marino berlangsung di Misano Adriatico.
Oliveira, 29, telah memenangi lima perlumbaan Grand Prix sejak menyertai kelas utama perlumbaan motosikal pada 2019, dengan pencapaian terbaiknya dalam kejuaraan adalah tempat kesembilan pada tahun berikutnya.
Pasukan Itali, Pramac, yang kini mempunyai pelumba Jorge Martin menerajui kedudukan keseluruhan, akan berpindah daripada jentera Ducati kepada Yamaha.
Perpindahan itu dijangka membantu Yamaha memperkukuh kedudukan mereka di litar setelah kehilangan banyak kelebihan kepada pesaing dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketika ini, Yamaha hanya mempunyai dua jentera kilang yang bersaing dalam MotoGP, jauh berbeza dengan Ducati yang mendominasi grid dengan lapan jentera, termasuk milik juara dua kali Francesco Bagnaia.
Rakan sepasukan Oliveira belum diumumkan, tetapi ia pasti bukan Fabio Quartararo, juara 2021 yang akan kekal dengan pasukan kilang Yamaha bersama Alex Rins. – AFP