Omicron mungkin kebal vaksin?

LONDON, 30 NOV – Inokulasi COVID-19 yang ada sekarang akan bergelut menentang varian Omicron yang merebak pantas, tekan ketua pengilang vaksin Moderna hari ini, ketika negara-negara meningkatkan program vaksinasi dan mengenakan sekatan lanjut dalam usaha untuk mengekang kebimbangan memuncak.

Pertama kali dilaporkan ke Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Afrika Selatan kurang seminggu yang lalu, strain baharu itu merebak pantas dari Afrika ke Pasifik dan dari Eropah ke Amerika Utara ketika puluhan negara mengumumkan sekatan perjalanan.

Sementara tidak ada kematian dilaporkan berpunca dari Omicron dan ia akan mengambil berminggu-minggu untuk mengenal pasti kebolehjangkitannya dan bagaimana ia kebal terhadap vaksin, kemunculannya menekankan bagaimana dunia akan tetap terkepung oleh COVID-19, hampir dua tahun selepas kes pertama direkodkan.

Ketua pembuat vaksin Moderna, AS, Stephane Bancel, memberitahu Financial Times dalam temu bual yang disiarkan hari ini yang data berhubung keberkesanan vaksin semasa terhadap varian baharu itu hanya akan diketahui dalam masa dua minggu lagi tetapi saintis-saintis berasa pesimistik.

“Kesemua saintis yang ditemui… seperti menyatakan ‘ia tidak akan menjadi baik’,” kata Bancel memberi amaran kemungkinan berlaku ‘penurunan material’ dalam keberkesanan vaksin semasa terhadap Omicron.

Moderna, pembuat ubat AS, Pfizer dan vaksin Rusia, Sputnik V semuanya mengumumkan mereka sedang membangun-kan vaksin khusus untuk varian Omicron. – AFP