Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Onana masih boleh beraksi

    DOHA, 28 NOV – Andre Onana masih boleh bermain untuk Cameroon dalam perlawanan akhir Kumpulan G menentang Brazil walaupun telah dibuang daripada skuad semasa aksi seri 3-3 menentang Serbia, kata jurulatih, Rigobert Song.

    Penjaga gol Inter Milan, Onana telah dikeluarkan daripada skuad Cameroon pada hari perlawanan atas isu disiplin yang tidak dinyatakan, dengan laporan mengatakan pemain berusia 26 tahun itu telah dihantar pulang sebelum pasukannya bangkit ketika ketinggalan dua gol dalam aksi yang penuh mendebarkan.

    Walaupun begitu, Song berkata Onana belum dibuang sepenuhnya daripada pertandingan menentang Brazil nanti, sambil menyatakan ‘ia bergantung kepadanya’ sama ada dia mahu menyertai pasukan, namun Song tidak menyatakan punca perbalahan mereka.

    “Dia ialah pemain yang penting tetapi apa yang perlu saya lakukan adalah memikirkan mengenai pasukan sebagai satu unit berbanding memikirkan kepentingan individu,” kata Song kepada wartawan.

    “Buat masa ini kami sedang berusaha untuk mencari siapa yang mahu mempertahankan maruah negara. Apa yang penting bagi saya ialah pemain-pemain yang berada di sini. Saya sudah menyuruh Onana untuk tunggu, kami akan mencari peluang untuk dia kekal di sini (dalam Piala Dunia).

    Ia bergantung pada dirinya sendiri kerana dia juga perlu patuh kepada peraturan kami. Marilah kita lihat sama ada ia dapat dilakukan.”

    Cameroon perlu menewaskan Brazil untuk mara ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak 1990 dan Song percaya pasukannya mampu menundukkan juara dunia lima kali itu. “Kami percaya kami boleh kalahkan Brazil,” tambahnya.

    “Kami tidak datang ke Piala Dunia ini hanya untuk mencukupkan bilangan pasukan, untuk turut serta bermain.

    “Kami rasa kami masih layak untuk mara dalam permainan ini walaupun kami tahu Brazil adalah salah satu pasukan yang hebat.” – AFP

    Aleksandar Mitrovic (kiri) gagal menjaringkan gol semasa aksi Kumpulan G, Piala Dunia Qatar antara Cameroon dan Serbia di Stadium Al Janoub, Al Wakrah. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...