One Direction umum kejutan sempena ulang tahun ke-10

One Direction akhirnya mendedahkan kejutan yang bakal dibuat sempena sambutan ulang tahun kesepuluh mereka pada 23 Julai ini.

Kumpulan itu bakal melancarkan laman web yang lengkap dengan sebuah video dirakam khas buat peminat.

Laman web itu akan dipersembahkan dalam bentuk garis masa sejarah One Direction dari permulaan penubuhan hingga saat mereka mengumumkan untuk berehat.

Ia turut memuatkan video muzik, karya seni, persembahan televisyen, serta kandungan belakang tabir yang tidak pernah dipertontonkan kepada umum.

Selain itu, senarai lagu-lagu kumpulan itu akan dilancarkan dalam bentuk interaktif di mana pengaktifan di seluruh platform penstriman digital akan turut dibuat.

Sebelum ini, kejutan itu terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Sejak penubuhannya, One Direction menjual lebih 200 juta rekod seluruh dunia, dengan lebih 21 bilion strim di seluruh platform muzik digital.

Kumpulan itu memenangi lebih 200 anugerah termasuk tujuh anugerah Brit, empat anugerah MTV Music, enam anugerah Billboard Music, tujuh anugerah American Music dan 28 anugerah Kids Choice.

Bagaimanapun, peminat One Direction masih mengharapkan kelima-lima ahli mereka iaitu Harry Styles, Niall Horan, Liam Payne, Zayn Malik dan Louis Tomlinson kembali bersatu. – Agensi

One Direction bakal melancarkan laman web yang lengkap dengan sebuah video dirakam khas buat peminat. – Agensi