Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ongkili: perkasa elemen mitigasi banjir

    KOTA MARUDU, 3 JAN – Sudah tiba masanya setiap pelan pembangunan dirancang di Sabah khususnya di Kota Marudu mengambil kira elemen mitigasi banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

    Bercakap kepada Bernama, Ongkili berkata perancangan pembangunan baik dan mampan perlu dititikberatkan dalam usaha mengurangkan risiko serta impak banjir, yang saban tahun melanda setiap daerah mahupun bandar di negeri itu.

    “Dari segi pelan (pembangunan) sememangnya bukan senang, tetapi perancangan yang baik boleh membantu mengurangkan impak dan implikasi (banjir). Ini termasuk dari segi perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik, kesemua ini perlu ada koordinasi lebih erat.

    “Bukan lagi sembarangan punya perancangan, (sebaliknya) perlu (menerapkan) data dan kajian saintifik selain maklumat tepat (daripada setiap jabatan dan agensi kerajaan berkaitan),” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ranau di sini, hari ini.

    SK Ranau yang menempatkan 565 mangsa daripada 201 keluarga merupakan antara 13 PPS beroperasi di Kota Marudu, daerah paling terjejas banjir susulan hujan berterusan sejak Jumaat lepas.

    Mangsa banjir Rahmah Binti Wandi bersama anaknya Norzanah Mohd Sarnizam, 11 bulan dari Kampung Kandayahon ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Ranau Kota Marudu ketika tinjauan Bernama. – Bernama

    Secara keseluruhannya, Sabah merekodkan seramai 3,329 mangsa banjir melibatkan 1,231 keluarga setakat 3 petang, menurun berbanding 3,398 daripada 1,236 keluarga tengah hari tadi. Selain Kota Marudu, lima daerah lain di Sabah turut terjejas banjir iaitu Pitas; Paitan; Telupid; Beluran dan Sandakan.

    Mengulas lanjut, Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata banjir di kawasan itu berlaku susulan taburan hujan melebihi paras biasa antara 40 hingga 50 milimeter sehari kepada 200 milimeter sehari menyebabkan air di beberapa sungai di daerah berkenaan naik dan melebihi paras bahaya.

    Ongkili berkata kerjasama erat antara semua jabatan dan agensi kerajaan di Sabah amat penting sebagai usaha memastikan pengurusan banjir lebih efisien termasuk dalam operasi menyelamat serta menyediakan keperluan mangsa ditempatkan di setiap PPS.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar daerah ini pada sebelah pagi dan petang mendapati keadaan cuaca masih tidak menentu dengan hujan sekejap-sekejap.

    Beberapa kampung di sekitar daerah terletak di utara Sabah, kira-kira 122 kilometer dari Kota Kinabalu itu, masih digenangi air, manakala ada sebahagian penduduk di beberapa kampung sudah mulai membersihkan rumah berikutan keadaan banjir semakin pulih dan air mulai surut. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...