OPEC+ dijangka rangsang pengeluaran minyak

LONDON, 4 MAC – Anggota kumpulan pengeluar minyak, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya dijangka meningkatkan pengeluaran, dalam pertemuan hari ini, sebagai tindak balas kepada peningkatan permintaan dan harga.

Walaupun kumpulan yang dipanggil OPEC+ itu sering berbalah mengenai jumlah minyak yang akan masuk ke dalam pasaran, penurunan harga secara tiba-tiba akibat pandemik COVID-19 menyebabkan anggota pertubuhan itu bersetuju mengenai pengurangan pengeluaran mendadak bagi menyokong harga.

Selepas kempen vaksinasi yang berjalan ketika ini dan permintaan daripada pengimport minyak terbesar dunia, China sudah kembali ke tahap sebelum pandemik, kejayaan pertemuan hari ini akan bergantung kepada sama ada pemain besar, Rusia dan Arab Saudi bersetuju untuk melangkah ke hadapan.

“Dalam gabungan ini, terdapat perbezaan pendapat yang besar mengenai kapasiti pasaran minyak bagi menyerap jumlah baharu,” kata ketua penganalisis komoditi di kumpulan penyelidikan SEB, Bjarne Schieldrop.

Schieldrop menjelaskan, pengeluar minyak mentah kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Rusia ‘mengambil langkah berhati-hati’, manakala negara ketiga, Arab Saudi ‘mempertahankan kenaikan bekalan’.

Dalam pertemuan teknikal pada Selasa, ketua OPEC, Mohammed Barkindo, mengambil jalan tengah apabila berkata kartel itu perlu menekankan ‘optimisme berhati-hati’ dengan risiko berterusan daripada pandemik itu.

Dalam pertemuan pada Januari, gabungan 23 pengeksport minyak memerlukan dua hari yang sukar bagi perbincangan untuk bersetuju meningkatkan bekalan secara berperingkat ke pasaran minyak.

Walaupun 7.125 juta tong minyak sehari ditahan daripada memasuki pasaran pada Februari, kartel menurunkan angka itu menjadi 7.05 juta tong sehari bagi Mac, membekalkan pasaran secara berkesan, dengan tambahan 75,000 tong sehari.– AFP

Gambar fail bertarikh 8 April 2020 menunjukkan matahari terbenam di sebalik unit pam minyak dekat Bandar Karnes, AS. Anggota pengeluar minyak kartel OPEC dan negara-negara sekutu melangsungkan mesyuarat secara maya pada 4 Mac. – AP