Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    OPEC+ dijangka selaras kuota pengeluaran

    VIENNA, 5 SEPT – Kartel minyak OPEC+ dijangka mencapai persetujuan untuk menyelaras pengeluaran hari ini, walaupun ia mungkin memilih untuk mengurangkan pengeluaran untuk menaikkan harga yang telah merosot disebabkan kebimbangan kemelesetan.

    Seramai 13 anggota kartel Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), dipimpin Arab Saudi, dan 10 sekutu pimpinan Rusia akan mengadakan mesyuarat tetap untuk menyelaras kuota mereka untuk bulan Oktober.

    Harga minyak naik kepada hampir AS$140 satu tong pada Mac selepas Rusia menyerang Ukraine, tetapi ia telah merosot sejak itu di tengah kebimbangan kemelesetan, sekatan COVID di negara pengguna China dan kemungkinan pemeteraian perjanjian nuklear Iran.

    Minyak antarabangsa Brent dan kontrak AS, WTI telah merosot lebih rendah daripada AS$100, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa OPEC+ mungkin mengurangkan pengeluaran demi merangsang harga minyak.

    “Kumpulan itu dijangka meninggalkan sasaran pengeluaran tidak berubah tetapi kemungkinan besar satu pengurangan akan dibincangkan, yang jika diluluskan, akan mewujudkan lebih banyak ketidakstabilan pada masa yang membimbangkan ini,” kata Craig Erlam, penganalisis pasaran di platform perniagaan OANDA.

    “Satu pengurangan pengeluaran tidak dialu-alukan pada masa apabila dunia sedang berdepan krisis kos sara hidup dan kumpulan itu juga telah gagal memenuhi permintaan pada tahun ini,” kata Erlam.

    Pada mesyuarat terakhirnya, OPEC+ bersetuju menambah 100,000 tong sehari untuk bulan September – jumlah enam kali lebih rendah daripada keputusan sebelumnya. – AFP

    Matahari terbenam di belakang pam dongkrak berdekatan Bandar Karnes, Amerika Syarikat. Harga minyak merosot disebabkan kebimbangan kemelesetan di seluruh dunia. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...