OPEC: Keluaran minyak dikurangkan 10 juta bpd

LONDON, 10 APRIL – Negara pengeluar minyak utama kecuali Mexico bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran pada Mei dan Jun sebanyak 10 juta tong sehari (bpd), kata OPEC hari ini, selepas rundingan lama untuk mengatasi kejatuhan dalam harga minyak.

Persidangan video yang dipimpin oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum telah dilihat sebagai peluang terbaik untuk memberikan sokongan kepada harga, yang telah mencecah tahap rendah dua dekad disebabkan pandemik koronavirus dan perang harga di antara pengeluar utama Arab Saudi dan Rusia.

Perjanjian itu, yang juga mengurangkan pengeluaran sebanyak lapan juta bpd dari Julai hingga Disember, bergantung pada sama ada Mexico bersetuju untuk perjanjian tersebut berkuat kuasa, kata kartel minyak selepas mesyuarat.

Mesyuarat maya negara-negara OPEC, diketuai oleh Riyadh, dan sekutu OPEC+ termasuk Rusia serta negara bukan anggota lain, bermula selepas 1440 GMT semalam.

Rundingan berlarutan sehingga awal pagi ini. Bloomberg News melaporkan isu yang dipertikaikan adalah keengganan Mexico untuk mengurangkan pengeluaran di bawah perjanjian itu, yang bersamaan dengan 400,000 tong sehari. Menteri Tenaga Mexico Rocio Nahle Garcia berkata negaranya telah mencadangkan pengurangan 100,000 tong. – AFP