OPEC lanjutkan pengurangan pengeluaran minyak

VIENNA, 7 JUN – Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) diterajui Arab Saudi bersama pengeluar utama yang lain, semalam bersetuju melanjutkan tempoh pengurangan pengeluaran minyak sehingga Julai ini.

Menurut OPEC dalam satu kenyataan, pertubuhan dianggotai 13 negara itu bersama sekutu, terutama Rusia, mengambil keputusan melanjutkan selama sebulan lagi pengurangan pengeluaran minyak yang dipersetujui pada April lalu bagi memulihkan harganya.

Harga minyak merudum akibat kemerosotan perminta-an berikutan langkah negara di serata dunia melaksanakan perintah berkurung ketat bagi menyekat penularan wabak COVID-19.

“Semua negara yang mengambil bahagian… ber-setuju dengan pilihan untuk melanjutkan fasa pertama penyelarasan pengeluaran pada Mei dan Jun selama sebulan lagi,” menurut kenyataan itu.

Di bawah terma perjanjian pada April lalu, OPEC dan OPEC+ berikrar mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong sehari dari 1 Mei hingga akhir Jun ini. Pengurangan itu kemudian akan dilonggarkan secara berperingkat mulai Julai, kepada 7.7 juta tong sehari hingga Disember depan.

Menteri Minyak Algeria, Mohamed Arkab yang memegang giliran jawatan Presiden OPEC ketika ini, memberitahu AFP bahawa pengurangan dipersetujui untuk Julai ialah 9.6 juta tong sehari. Namun, beliau berkata Menteri Minyak dari negara pengeluar utama akan mengadakan pertemuan bulanan untuk menilai perjanjian itu. – AFP