OPEC pertimbang kurangkan pengeluaran

VIENNA, 5 MAC – Kartel negara-negara pengeluar minyak, OPEC mempertimbangkan untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengekang kemerosotan harga yang diburukkan lagi oleh kebimbangan wabak virus yang menjejaskan ekonomi dunia.

Menteri-menteri minyak dari 14 buah negara kartel itu berhimpun di Vienna hari ini ketika pengeluar tenaga terjejas dalam penurunan 25 peratus harga minyak mentah semenjak Januari.

Semenjak koronavirus itu mula merebak di China bulan lalu, perjalanan udara ke negara itu – ekonomi kedua terbesar dunia – hampir semuanya dihentikan.

Permintaan bagi bahan bakar pengangkutan di dalam negara itu juga menurun secara mendadak manakala pengi-langan turut dihentikan ketika bandar-bandar dengan berjuta-juta penduduk dikuarantin bagi mengekang penularan virus. Syarikat-syarikat besar utama di seluruh dunia pula menghentikan perjalanan perniagaan ketika mesyuarat-mesyuarat dibatalkan bagi langkah berwaspada.

Harga minyak stabil menjelang mesyuarat hari ini dengan jangkaan bahawa OPEC dan bukan ahli OPEC akan bersetuju bagi pengurangan pengeluaran lanjut. Beberapa penganalisis meramalkan kartel itu akan bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1 juta tong sehari, daripada pengurangan pengeluaran sedia ada.

Dalam Disember, negara-negara pengeluar minyak OPEC dan Rusia yang menyertai rundingan, bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran 1.7 juta tong sehari, meningkat daripada 1.2 juta tong sehari dalam pengurangan pengeluaran yang ditetapkan selama tiga tahun.

Tidak semua negara mematuhi pengurangan pengeluaran itu secara sama rata, dengan beberapa negara secara senyap mengeluarkan lebih daripada yang dipersetujui dan keputusan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran tidak dilihat serius dalam usahanya meningkatkan harga minyak kerana AS membanjiri pasaran dengan keluaran minyak mentah yang murah. – AP