OPEC setuju tambah pengeluaran minyak

DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 19 JULAI – OPEC dan negara bersekutu mencapai persetujuan semalam untuk menambah had pengeluaran yang dikenakan ke atas lima negara pada tahun depan dan menambah pengeluaran mereka sebanyak 2 juta tong sehari (bpd) pada akhir tahun ini, sekali gus menamatkan perbalahan yang membelenggu pasaran minyak.

Perbalahan yang dicetuskan oleh permintaan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menambah pengeluarannya sendiri, membatalkan sementara mesyuarat kartel sebelum ini. Dalam satu kenyataan semalam, kartel mengumumkan Iraq, Kuwait, Rusia, Arab Saudi dan UAE akan melihat had pengeluaran mereka dipertingkatkan.

“UAE sentiasa komited kepada kumpulan ini dan kami akan sentiasa berusaha untuk melakukan sedaya upaya untuk mencapai keseimbangan pasaran dan membantu semua orang,” kata al-Mazrouei, Menteri Minyak UAE. Beliau mengalu-alukan perjanjian sebagai ‘perjanjian muktamad’ di antara semua pihak.

Di bawah had pengeluaran baharu, UAE akan mengeluarkan sehingga 3.5 juta tong minyak mentah sehari bermula pada Mei 2022. Ia adalah lebih rendah daripada 3.8 juta tong sehari yang dituntut sebelumnya. Had pengeluaran Arab Saudi sebanyak 11 juta tong sehari akan ditambah kepada 11.5 juta, begitu juga dengan Rusia, Iraq dan Kuwait.

Dalam kenyataannya, OPEC mengakui harga minyak akan terus meningkat.

“Pemulihan ekonomi terus dicatat di sebahagian besar negara dunia dengan bantuan program vaksinasi,” kata kartel.

Mulai Ogos ini, kartel berkata ia akan menambah pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari setiap bulan sehingga Disember – keseluruhan berjumlah 2 juta tong. Kartel seterusnya akan menilai pelan sama ada membatalkan pengurangan pengeluaran sebanyak 5.8 juta tong sekarang menjelang 2022 seperti yang dirancang dalam perjanjian awal. – AP

Menteri Minyak UAE Suhail al-Mazrouei menghadiri Forum Tenaga UAE 2020 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Al-Mazrouei berkata OPEC telah mencapai ‘perjanjian muktamad’ selepas perbalahan yang menjejas harga minyak. – AP