Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    OpenAI, pencipta ChatGPT, buat Microsoft terpesona

    PARIS, 15 JAN – Syarikat pemula yang paling hangat di Silicon Valley pada masa ini ialah OpenAI, pembangun yang dibiayai oleh Microsoft yang mencipta ChatGPT, sebuah chatbot yang sangat ditunggu-tunggu yang dapat menulis puisi, karangan, bahkan baris kod perisian.

    Usahawan Tesla, Elon Musk, adalah pelabur awal dalam OpenAI dan Microsoft dilaporkan sedang berbincang untuk meningkatkan pelaburan awal sebanyak AS$1 bilion kepada AS$10 bilion dengan matlamat untuk mencabar enjin carian yang mendominasi dunia milik Google.

    Jika dipersetujui, suntikan dana oleh pembuat Windows akan memberikan nilai OpenAI sebanyak AS$29 bilion, menjadikan ia kejayaan dunia teknologi yang jarang berlaku apabila pemain utama seperti Amazon, Meta dan Twitter sedang mengurangkan kos dan memberhentikan pekerja.

    “Microsoft jelas sedang agresif dalam hal ini dan tidak akan ketinggalan dalam apa yang mungkin menjadi pelaburan AI yang boleh mengubah permainan,” kata penganalisis, Dan Ives dari Wedbush Securities.

    Sebelum keluaran ChatGPT, OpenAI telah menakjubkan pakar teknologi dengan Dall-E 2, perisian yang mencipta imej digital dengan arahan yang mudah.

    Microsoft yang tidak merahsiakan hasratnya dalam bidang AI telah mengintegrasikan Dall-E 2 ke dalam beberapa aplikasinya. Kini, menurut laporan Bloomberg, gergasi teknologi itu ingin menggabungkan ChatGPT dengan enjin cariannya, Bing untuk menyaingi Google.

    Sejak ChatGPT diperkenalkan pada November, kebolehan chatbot ini telah menimbulkan rasa ingin tahu dan keseronokan kepada pengguna Internet.

    Ia mampu menghasilkan jawapan yang terperinci dan seperti manusia dalam pelbagai topik hanya dalam beberapa saat, menimbulkan kebimbangan bahawa ia mudah digunakan untuk penipuan pelajar atau penyebaran maklumat palsu. – AFP

    Gambar fail bertarikh 5 Januari 2023 menunjukkan ChatGPT sedang digunakan pada sebuah peranti berdekatan dengan sekolah awam di Brooklyn, New York. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...