Operasi banteras kegiatan jenayah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Seorang warga asing telah ditahan dalam operasi berkoordinasi mengejut bagi membenteras jenayah yang dijalankan di kawasan premis perniagaan Sengkurong, Daerah Brunei dan Muara.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dari Balai Polis Sengkurong, Daerah Polis Brunei dan Muara bersama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah membuat pemeriksaan ke atas penghuni-penghuni di bangunan-bangunan komersil yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Faisal Iswandy bin Ali Othman.

Tujuan utama operasi sepadu dijalankan adalah bagi membenteras sebarang aktiviti atau kegiatan jenayah yang melibatkan pekerja-pekerja asing yang bekerja di negara ini.

Selain itu, operasi tersebut juga bertujuan bagi meningkatkan lagi koordinasi dan kerjasama padu di kalangan agensi-agensi penguatkuasa dan juga membuktikan kerajaan serius dalam menangani kegiatan jenayah.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi apa jua peraturan atau undang- undang di negara ini serta turut memainkan peranan yang proaktif sebagai mata dan telinga PDB dengan menyalurkan maklumat.

Dengan kerjasama orang ramai sebarang aktiviti atau kegiatan jenayah dapat ditangani hingga peringkat akar umbi, sekali gus menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

Anggota PDB dan JIPK ketika menjalankan tugas masing-masing semasa operasi itu.