Operasi Bersih keluarkan 2 kompaun

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Dua denda kompaun telah dikeluarkan dalam Operasi Bersih 94/2019 di dua kawasan berasingan, kelmarin.

Dalam operasi itu, seorang lelaki warga Bangladesh, Sheakh Mohammad Kamal telah dikenakan $100 apabila didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 bab 12 (1) (a) kerana membuang sampah di tempat awam di kawasan tepi Jalan Kampung Anggerek Desa.

Manakala itu, kompaun sebanyak $500 dikenakan ke atas sebuah kedai buku setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 bab 12 (1) (b) kerana melonggokkan bekas bahan binaan di kawasan letak kereta di Kampung Serusop.

Kedua-duanya diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika gagal, kes akan dipanjangkan ke mahkamah.

Jika sabit, bagi kesalahan pertama boleh didenda $1,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk tidak membuang atau melonggokkan apa jua bentuk sampah merata-rata terutamanya di tempat-tempat awam dan dinasihatkan untuk sama-sama menanamkan sifat bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar bagi kemaslahatan dan keselesaan pengguna dan orang ramai.