Operasi bot laju, bot penambang dihentikan

KOTA KINABALU, 24 MAC – Semua operasi perkhidmatan bot laju atau bot penambang bagi laluan Menumbok-Labuan dihentikan berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre hari ini sebagai langkah menangani penularan jangkitan COVID-19 di Sabah. Kerajaan Sabah juga telah menetapkan jadual operasi perkhidmatan feri penumpang dan feri kenderaan (Ro-Ro) Menumbok – Labuan, katanya dalam kenyataan di sini.

“Operasi perkhidmatan feri ditetapkan bagi laluan Menumbok-Labuan ialah Galaxy pukul 6 pagi dan 4 petang (Ahad sahaja); Putrajaya I (9 pagi); Kimanis (1 petang); Goodwill (8 malam).

“Bagi laluan Labuan-Menumbok, operasi perkhidmatan feri yang ditetapkan ialah Putrajaya I pada 6 pagi; Kimanis (3.30 petang); Goodwill (5.30 petang) dan Galaxy (6.30 petang),” katanya.

Safar yang juga Pengerusi Sabah COVID-19 Command Centre berkata kerajaan negeri turut memutuskan pergerakan penduduk dari Pulau Gaya ke tanah besar dan sebaliknya dihentikan serta-merta kecuali untuk perkhidmatan barangan penting dan perkhidmatan penting. Selain itu, kerajaan Sabah juga memutuskan supaya sekatan jalan raya di setiap sempadan daerah dilaksanakan oleh pihak berkuasa hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan jangkitan COVID-19, katanya.

“Ini bertujuan mengelakkan pergerakan penduduk antara daerah kecuali mereka yang terlibat dalam perkhidmatan barangan penting dan perkhidmatan penting,” jelasnya. – Bernama