Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi buru pesalah trafik

    Oleh Daniel Lim

    KUALA BELAIT, 26 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan operasi sekatan selama tiga hari bermula hari ini di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Malaysia-Brunei sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai peraturan dan kawalan lalu lintas di Malaysia terutama pemilik kenderaan pendaftaran Brunei yang mempunyai saman tertunggak.

    Operasi kali keempat itu dilaksanakan sebagai lanjutan daripada Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA), dengan operasi pertama diadakan antara sempadan Brunei-Malaysia pada 2015.

    Matlamat operasi adalah untuk memastikan pesalah-pesalah lalu lintas warga asing untuk membayar denda kompaun sebelum meninggalkan Malaysia serta meningkatkan kesedaran mereka untuk mematuhi undang-undang dan peraturan semasa menggunakan jalan- jalan raya di Malaysia.

    Ketua Polis Bandar Miri, ACP Lim Meng Seah ketika sidang media pada hari pertama operasi berkata telah mengenal pasti lebih 60,000 saman lalu lintas tertunggak, terutama yang melibatkan kenderaan pendaftaran Brunei sejak 2008.

    Antara 60,000 saman lalu lintas itu, kebanyakannya adalah pengguna kenderaan Brunei dan beberapa warga Malaysia yang menggunakan plat lesen pendaftaran Brunei berdepan kesalahan memandu laju, termasuk meletak kereta di kawasan bukan letak kereta, melanggar lampu merah di persimpangan trafik, membuat pusingan U di tempat bukan sepatutnya dan banyak lagi.

    Para pegawai polis ketika memeriksa salah sebuah kenderaan semasa Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing di sempadan Malaysia-Brunei.
    ACP Lim Meng Seah semasa ditemu bual ketika operasi sekatan jalan dilakukan.
    Beberapa pengguna jalan raya yang bekerjasama untuk menyelesaikan saman trafik mereka semasa operasi.

    ACP Lim Meng Seah berharap operasi itu akan berjalan lancar dengan orang awam perlu memastikan mereka dapat menyelesaikan saman-saman lalu lintas tersebut dan tidak memandang sekatan jalan raya itu dengan pandangan negatif kerana operasi itu dilaksanakan untuk mendukung undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    “Kami juga ingin memastikan yang masyarakat awam untuk tidak percaya mana-mana maklumat mengelirukan yang mungkin berasal daripada mereka yang tidak berkaitan atau bertanggungjawab dengan operasi tersebut,” ujarnya lagi.

    Beliau juga berkongsi mengenai respons pada hari pertama operasi telah berjalan lancar ketika semua pengguna jalan raya yang memiliki kesalahan trafik telah membayar saman mereka.

    “Kami juga memberikan peluang kepada mereka yang tidak dapat membayar pada waktu itu, dengan menasihati mereka untuk datang semula apabila sudah memiliki wang untuk membayar denda tersebut,” jelasnya.

    Apabila ditanya bagaimana pengguna jalan raya ingin mengetahui jika mereka mempunyai saman trafik, jelasnya, kaedah terbaik adalah untuk mendatangi kaunter di balai polis trafik bersama kad identiti mereka atau melayari laman web di https://www.myeg.com.my/.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda