Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Canon tahan 18, syabu dirampas

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Seramai 18 individu terdiri daripada 15 warga tempatan dan tiga warga asing telah ditahan dalam Operasi Canon pada 2 hingga 10 Oktober lalu kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah terkawal.

    Menurut kenyataan Biro Kawalan Narkotik (BKN), operasi itu telah menyasarkan satu kumpulan pengedaran dadah yang didalangi oleh seorang warga tempatan yang berusia 48 tahun.

    Dalam operasi itu juga, BKN telah merampas sebanyak 1,363.38 gram syabu yang dianggarkan bernilai lebih $190,000 di pasaran tempatan dan boleh menampung kira-kira 13,500 penagih dadah.

    Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah $1,137 dan SGD20 dipercayai hasil dari kegiatan pengedaran dadah, alat perkakas untuk menyalahgunakan dadah dan alat-alat dipercayai digunakan dalam membungkus dadah seperti alat timbangan digital, gunting dan paket-paket kecil.

    Siasatan yang dijalankan oleh BKN mendapati sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran yang kemudian diseludup masuk dengan menyembunyikannya dalam tayar ganti sebelum ia dibahagikan untuk diedarkan di pasaran tempatan.

    Syabu yang disembunyikan di dalam tayar. – Gambar serahan BKN

    Dua orang tangkapan Operasi Canon akan disiasat di bawah Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar.

    Salah seorang daripadanya akan disiasat kerana memiliki sebanyak 1,300.29 gram syabu dan jika sabit kesalahan dengan jumlah dadah yang tersebut boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

    Dalam kesempatan ini, BKN merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang menyumbang kepada kejayaan operasi ini sebagai usaha bersama membanteras jenayah-jenayah di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda