Operasi domestik AirAsia mulai 29 April ini

KUALA LUMPUR, 17 APRIL – AirAsia Group Bhd akan menyambung semula penerbangan domestiknya yang dijadualkan mulai 29 April ini sebelum diperluaskan ke destinasi antarabangsa, bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini berkata penerbangan antarabangsa ke Thailand dan Filipina dijadual bermula 1 Mei, manakala Indonesia pada 7 Mei.

“Penyambungan semula perkhidmatan ini adalah untuk beberapa laluan domestik terpilih, manakala penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat apabila keadaan bertambah baik dan sehingga kerajaan menarik semula sekatan perjalanan,” katanya.

Penerbangan telah sedia untuk ditempah di laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih dan tetamu juga boleh menggunakan akaun kredit mereka untuk menebus penerbangan ini.

AirAsia berkata maklumat lanjut mengenai laluan lain dan jadual penerbangan akan diumumkan beberapa minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan kerajaan. – Bernama