Operasi gempur negara kekang penyeludupan dadah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam berganding tangan dalam usaha murni bagi memastikan semua aktiviti haram termasuk penyeludupan dadah ditangani dengan teratur melalui pendekatan seluruh negara.

Pendekatan itu adalah amat ketara dalam respons negara kepada pandemik COVID-19 di mana agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasa memainkan peranan bekerjasama rapat bersama orang ramai untuk melindungi penduduk daripada bahaya dadah haram dan aktiviti-aktivi jenayah yang lain ketika masa yang tidak menentu ini.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku ketua AMMTD Negara Brunei Darussalam dalam kenyataannya pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Isu Dadah (AMMD) ke-7 secara maya, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, pengedaran dan penyalahgunaan dadah terus menjadi kebimbangan utama bagi Negara Brunei Darussalam dengan strategi untuk mengurangkan dan mengekang permintaan serta pembekalan dadah menerusi penguatkuasaan undang-undang jenayah dadah.

Pada masa yang sama, program-program pendidikan pencegahan dadah kepada orang ramai dan perkhidmatan pemulihan serta rawatan bagi penagih-penagih dadah turut ditingkatkan.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Isu Dadah (AMMD) ke-7 secara maya. – Gambar serahan BKN

Walaupun sekatan perjalanan yang ketat telah dilaksanakan sejak penularan COVID-19 pada 2020, Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan peningkatan dalam jumlah aktiviti-aktiviti jenayah merentas sempadan termasuk penyeludupan dadah haram.

“Sebenarnya, semasa tempoh ini, Biro Kawalan Narkotik merekodkan, rampasan methamphetamine atau syabu yang terbesar iaitu lebih tiga kali ganda daripada jumlah yang dirampas bagi keseluruhan 2019,” tekannya.

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa COVID-19 tidak memperlahankan penyeludup-penyeludup dadah haram tetapi dengan kerjasama orang ramai dan kesemua agensi penguatkuasaan di Brunei, kita telah berjaya mengekang aktiviti-aktiviti haram itu dengan mengendalikan banyak operasi yang berjaya ditengah-tengah pandemik ini.

Sementara itu, mengulas peranan Brunei Darussalam dalam menyokong visi sebuah ASEAN Bebas Dadah, Yang Berhormat Pehin mengongsi beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Jenayah Merentas Sempadan (AMMTC) ke-15 antara lain membincangkan perkembangan dibuat oleh agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di serata ASEAN dalam menentang aktiviti-aktiviti jenayah merentas sempadan termasuk penyeludupan dadah haram.

Beliau juga mengongsi bahawa Mesyuarat AMMTC ke-15 telah menyokong Deklarasi Bandar Seri Begawan bagi Memerangi Jenayah Merentas Sempadan Pasca Pandemik COVID-19 yang bermatlamat untuk menangani trend baharu dan yang baru muncul dalam jenayah transnasional dalam dunia pasca COVID-19.

Dalam hubungan itu, beliau berharap, deklarasi dan usaha-usaha yang diambil, oleh badan-badan sektoral yang lain termasuk AMMD akan membantu menyokong visi kolektif kita bagi mencapai sebuah ASEAN Bebas Dadah.

Sementara itu, di peringkat pegawai kanan, Mesyuarat ASOD ke-42 baru-baru ini, jelas Yang Berhormat Pehin menunjukkan bahawa ASOD telah melaksanakan beberapa inisiatif di mana antaranya Kajian Jangka Masa Pertengahan bagi Pelan Kerjasama ASEAN bagi Melindungi Masyarakat dari Dadah Haram (2016-2025) dan kajian jangka masa pertengahan Pelan Kerjasama ASEAN Untuk Menangani Penyeludupan dan Pembuatan Dadah di The Golden Triangle yang merupakan amat bernilai dalam usaha kita untuk memastikan sebuah ASEAN Bebas Dadah.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam kepada Indonesia dan Singapura untuk menjadi ahli mengundi bagi Commission on Narcotics Drugs (CND) bagi tempoh 2024-2027. “Ia adalah penting bagi suara kita di rantau ini, turut didengar oleh komuniti antarabangsa,” jelasnya.