Operasi kaunter Jabatan Buruh diteruskan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Orang ramai yang ingin meneruskan permohonan di bawah perkhidmatan dan cawangan Jabatan Buruh bolehlah dibuat melalui temu janji, selain memasukkan permohonan mereka ke dalam peti (drop box) yang disediakan di ruang legar jabatan berkenaan dan cawangan-cawangannya sepertimana kaedah pengawalan yang telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menjawab persoalan media mengenai situasi operasi kaunter Jabatan Buruh pada masa kini, semasa sidang media harian di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Perkara ini tidak menghalang untuk orang ramai meneruskan permohonan mereka di jabatan berkenaan pada masa kini. Namun langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) tetap dijalankan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Namun begitu, tambah beliau, apabila negara melangkah ke Fasa Endemik, langkah-langkah dan kaedah tertentu akan tetap dilaksanakan untuk membolehkan orang ramai di mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan di bawah jabatan itu dengan sebaiknya mengikuti SOP tertentu.