Operasi kawalan COVID-19 diselaraskan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Dalam menangani penularan COVID-19 yang sedang melanda Negara Brunei Darussalam, Pusat Operasi Kecemasan, Kementerian kesihatan bertindak sebagai sekretariat dalam menyediakan penyelarasan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta agensi-agensi yang berkaitan.

Pusat berkenaan juga berperanan dalam membuat penyelarasan bersama hospital-hospital dan pusat kesihatan yang berkaitan termasuk sukarelawan-sukarelawan yang ingin menyumbangkan tenaga semasa negara menghadapi situasi kecemasan ini.

Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin selaku ketua sekretariat bagi Pusat Gerakan Kecemasan Kementerian Kesihatan, ketika ditemu bual Media Permata berkata, antara yang diselaraskan pada masa ini adalah menyediakan ubat-ubatan dan perkhidmatan untuk mereka yang dikuarantin di rumah melalui pihak-pihak yang terlibat.

“Ini kerana dengan tenaga kerja yang ada pada masa sekarang masih belum mencukupi, dan dengan itu kami juga mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak yang terlibat seperti ABDB, sukarelawan dan banyak lagi,” ujarnya.

Penyelarasan lain yang turut dilakukan, tambah beliau, termasuk pergerakan individu dan pesakit ke tempat-tempat pengasingan yang bersesuaian termasuk bagi penumpang yang masuk ke Brunei, penyelarasan pengagihan barang-barang logistik kepada hospital-hospital dan klinik kesihatan, pengambilan dan penempatan sukarelawan bagi membantu di hospital-hospital, pusat kesihatan, pusat pemantauan, pengagihan makanan kepada individu yang menjalani pengasingan diri di rumah. Pusat berkenaan juga menyelaras komunikasi antara pihak-pihak terlibat.

Dayang Sufinah ketika ditemu bual mengenai Pusat Operasi Kecemasan, Kementerian Kesihatan yang bertindak sebagai sekretariat dalam menyediakan penyelarasan dengan pelbagai pihak bagi mena-ngani penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, pihak-pihak yang membantu dalam penyelarasan berkenaan adalah PDB, ABDB, NDMC, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri dan organisasi-organisasi bukan kerajaan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah serta sukarelawan daripada pihak-pihak tertentu.

Dayang Sufinah berkata, tenaga kerja daripada pihak-pihak berkenaan telah membantu Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan tugasan dengan lebih teratur.

Selain itu, pihak KKBS pada masa ini juga sudah menerima pengambilan dan pendaftaran sukarelawan secara berpusat. “Alhamdulillah, banyak bantuan yang diterima daripada pihak-pihak kerajaan, swasta dan jua persendirian dalam menangani COVID-19 pada masa ini.

“Namun kementerian ini sangat berbesar hati untuk menerima apa saja jenis bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh orang ramai bagi kegunaan untuk menangani pandemik ini seperti minuman, makanan, mask, peralatan kesihatan seperti air filter dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut beliau, mereka juga menyelaraskan dengan pengagihan sumbangan daripada orang ramai yang prihatin kepada hospital dan banyak lagi.