Operasi kekang aktiviti nelayan haram dipertingkatkan

LABUAN, 19 April – Jabatan Perikanan Labuan meningkatkan operasi di laut bagi mengekang kehadiran bot nelayan haram dan kapal pukat tunda daripada nelayan asing khususnya dari Vietnam.

Pengarahnya Faizal Ibrahim Suhaili berkata kehadiran nelayan asing itu bukan hanya menjejaskan industri perikanan tempatan tetapi menyebabkan kerugian pendapatan negara.

“Dalam operasi bersepadu dengan polis marin sejak Isnin hingga semalam, kami berjaya menahan 13 nelayan Vietnam dan dua bot kayu yang menceroboh perairan kita serta merampas kira-kira 150kg pelbagai hasil tangkapan laut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program libat urus jabatan itu di sini hari ini.

Antara kawasan yang terlibat dalam usaha pemantauan, kawalan dan pengawasan ialah perairan Labuan, kawasan menangkap ikan laut dalam popular di Semarang, lokasi menyelam di Vernon Bank, Menumbok, Weston, Sipitang di Sabah dan Awat-Awat, Lawas, Sarawak.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tahun lepas mendedahkan kerajaan menganggarkan kerugian sebanyak RM6 bilion setiap tahun akibat kegiatan haram oleh nelayan asing dan kapal pukat tunda.

Daripada jumlah itu, RM1.8 bilion dianggarkan kerugian akibat penangkapan ikan laut dalam dan RM4.2 bilion pula daripada penangkapan ikan di pesisir pantai.

“Kami bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin untuk memastikan kita tidak akan terus kehilangan sumber laut kepada nelayan asing,” katanya.

Sebanyak 256 kapal asing khususnya dari Vietnam dengan hasil tangkapan bernilai RM180 juta dirampas sejak 2016 sehingga kini. – Bernama