Operasi keluarkan bot karam

BUDAPEST, 11 JUN – Polis Hungary hari ini mulai mengeluarkan sebuah kapal pelancong yang tenggelam di sungai Danube di Budapest pada bulan lalu dalam satu kemalangan yang telah meragut skeurang-kurangnya 20 nyawa dengan lapan orang masih hilang.

Satu jam selepas operasi pengeluaran bermula pada kira-kira pukul 6 pagi, anjungan dan dek atas kapal timbul. Sejurus selepas itu, polis dilihat oleh jurugambar AFP berada di tapak mengeluarkan mayat daripada kapal.

Bot pelancong Mermaid membawa kebanyakan pelancong Korea Selatan apabila ia tenggelam pada 29 Mei beberapa saat selepas berlanggar dengan bot persiaran yang lebih besar di laluan sungai yang sibuk.

Hanya tujuh daripada 35 penumpang yang terselamat dalam kemalangan itu, dengan prospek mencari lebih ramai penumpang hidup dilihat sebagai amat tipis.

Mereka yang hilang termasuk seorang budak perempuan berusia enam tahun serta kapten kapal Mermaid warga Hungary.

Polis Hungary yang mengetuai operasi tersebut berkata operasi mengeluarkan bot mungkin mengambil masa enam jam, dan akan dilakukan berperingkat-peringkat untuk membenarkan juruselam mencari mangsa yang masih berada di dalam kapal.

Sejak kemalangan, juruselam tidak dapat memasuki bot yang tenggelam disebabkan arus yang kuat dalam sungai akibat hujan berminggu-minggu lamanya. – AFP

Anjungan kapal yang separuh timbul ketika operasi mendapatkan semula kapal kelmarin di Jambatan Margaret, tempat berlakunya kemalangan bot di Budapest, Hungary. – AP