Operasi luar pesisir ancam habitat penguin

PORT ELIZABETH, AFRIKA SELATAN – Bunyi penjana berdengung dengan kuat di belakang tatkala sebuah bot pelancong meluncur melepasi sebuah kapal besar yang sarat dengan bahan api kapal, berlabuh di Teluk Algoa, berhampiran dengan koloni pembiakan penguin Afrika terbesar di dunia.

Di pertengahan jalan laut Eropah-Asia, pelabuhan perairan dalam teluk merupakan pilihan yang jelas untuk operasi mengisi minyak luar pesisir pertama di Afrika Selatan.

Sejak 2016, kebanyakan kapal kargo telah berlabuh untuk mengisi minyak kapal-ke-kapal, membenarkan mereka membawa lebih banyak muatan, melangkau bayaran pelabuhan dan juga menjimatkan masa.

Namun penyokong pemuliharaan, operasi ekopelancongan dan pencinta alam berasa bimbang mengenai kesan jangka panjang di tempat biodiversiti marin dan tarikan utama pelancong asing.

Mereka mendakwa pengisian minyak diadakan terlalu dekat dengan tempat pencarian makanan dan pembiakan, sekali gus menjejas ekosistem dan mendedahkan haiwan laut kepada tumpahan minyak.

Koloni penguin dilihat di pulau St Croix di Teluk Algoa di luar Port Elizabeth. – AFP
Sekumpulan dolfin kelihatan berenang di luar pulau St Croix di Teluk Algoa di luar Port Elizabeth. – AFP
ATAS & BAWAH: Anggota sukarelawan memindahkan anak penguin Afrika yang diselamatkan dari Teluk Algoa di pusat pemuliharaan burung laut di Port Elizabeth. – AFP

Risiko tersebut telah ditekankan oleh tumpahan minyak yang bermula pada awal bulan ini di taman marin yang dilindungi di luar pinggir laut Mauritius, selepas sebuah kapal pengangkut terkandas pada 25 Julai.

Dengan kapal tangki simpanan utama di Teluk Algoa berupaya menampung 100,000 metrik tan minyak, aktivis bimbang berlakunya kebocoran besar-besaran.

Dalam dua tumpahan kecil pada 2017 dan 2019, renjer menyelamatkan puluhan penguin yang berlumuran dalam minyak tar.

Saintis juga sedang mengkaji sama ada bunyi, pencemaran dan lalu lintas kapal yang meningkat mungkin menjejas haiwan laut tersebut.

Mereka bimbang getaran berpunca daripada aktiviti mungkin mengusir haiwan yang bergantung pada sonar untuk memburu ikan.

“Ia adalah terlalu dekat dengan Kawasan Marin Dilindungi, terdapatnya terlalu banyak risiko yang terbabit…,” ahli sains alam sekitar Ronelle Friend, dari kumpulan komuniti Pemuliharaan Teluk Algoa mengingatkan dan menggesa aktiviti mengisi minyak dihentikan di teluk itu.

Teluk Algoa, cabang sungai di luar bandar Port Elizabeth di wilayah Cape Timur, merupakan tempat tinggal kepada pelbagai spesies burung laut, termasuk separuh daripada penguin Afrika dunia, dikelaskan sebagai terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa.

Kumpulan dolfin terbesar di dunia dicatat di teluk itu pada 2018, menurut satu laporan pada tahun lalu oleh Universiti Nelson Mandela di Port Elizabeth.

Tapak itu juga terletak di kawasan larian sardin tahunan, dianggap sebagai salah satu acara marin paling menakjubkan di muka bumi.

“Operasi mengisi minyak ini betul-betul berada di tengah-tengah tempat popular untuk ikan umpan yang dimakan oleh burung,” kata pemerhati ikan paus veteran dan operator pelancongan Lloyd Edwards, yang telah mengendali pelancongan marin Raggy Charters di kawasan itu lebih daripada dua dekad.

“Orang selalu rasa kagum dengan jumlah haiwan yang ada di teluk ini,” kata beliau, menambah beliau perhatikan sesetengah spesies ikan paus jarang dilihat sejak operasi mengisi minyak STS bermula.

“Mereka semua telah berpindah,” keluhnya, menyalahkan bunyi yang mendorong mereka berpindah.

Tiga syarikat maritim telah memperoleh lesen mengisi minyak sejak 2016.

Di antara mereka, mereka mengendali tiga kapal simpanan utama dan sehingga tujuh kapal baj lebih kecil, menurut Kosta Argyros, wakil Afrika Selatan untuk satu daripada tiga syarikat, Minerva Bunkering.

Terletak di laluan perniagaan utama, lalu lintas laut telah meningkat akibat pusat mengisi minyak, kata penyokong pemuliharaan.

Argyros menekankan aktiviti mengisi minyak adalah ‘operasi selamat’ dalam ‘industri yang amat terkawal.’

Apabila ‘dua kapal diikat bersama, mereka menjadi satu entiti,’ beritahunya kepada AFP.

“Ia adalah mesra alam tidak kira apa yang dikatakan oleh orang.”

Minyak Marin Afrika Selatan, yang berada di sebalik tumpahan pada Julai 2019, berkata ia ‘berlaku disebabkan tangki yang melimpah dalam kapal penerima’ dan antara 200 dan 400 liter minyak tertumpah ke laut.

Syarikat itu ‘amat komited dengan keselamatan operasi dan tanggungjawabnya terhadap orang dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

Heron Marine, syarikat berlesen ketiga, berkata ia menjalankan operasi mengikut semua peraturan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Kira-kira 100 penguin yang berlumuran minyak ditemui daripada tumpahan pada tahun lalu.

Saintis burung laut Lorien Pichegru berkata sementara kerosakan akibat kejadian tersebut adalah terhad, mengisi minyak menimbulkan satu lagi ancaman kepada spesies di mana jumlah global mereka telah merosot kepada 40,000 pada tahun lalu.

“Minyak pada bulu mereka mengeluarkan ciri-ciri kalis air mereka,” kata penyelidik Universiti Nelson Mandela, yang telah mengkaji penguin Afrika di Teluk Algoa sejak 2007.

Akhirnya mereka mati akibat ‘kelaparan dan kesejukan,’ di samping penguin dewasa meninggalkan telur dan anak mereka, tambah beliau.

Dalam usaha membersihkan diri mereka, burung berkenaan juga memakan toksin yang merosakkan organ dalaman mereka dan keupayaan pembiakan mereka.

Penguin Afrika, menonjol dari segi panggilan mereka yang kedengaran seperti ringkikan dan tanda ladam kuda hitam di dada mereka, hanya membiak di Afrika Selatan dan Namibia tetapi mereka juga ditemui di Mozambique.

Dalam tempoh tiga dekad lalu, jumlah mereka telah merosot lebih daripada 60 peratus disebabkan perubahan iklim, tumpahan minyak, aktiviti manusia, penangkapan ikan berlebihan dan pemusnahan habitat, menurut pakar.

Di Teluk Algoa, jumlah penguin juga merosot mendadak, daripada 10,900 pasangan pada 2015 kepada 6,100 pada 2019, menurut angka daripada jabatan Hal Ehwal Alam Sekitar Afrika Selatan.

“Sebarang ancaman tambahan kepada mereka mungkin membunuh seluruh spesies,” Pichegru memberikan amaran.

Sebahagian kawasan Teluk Algoa diisytiharkan Kawasan Marin Dilindungi pada tahun lalu.

Laporan universiti 2019 mengenai pinggir laut Cape Timur, bertumpu sekitar teluk, juga menekankan ia merupakan kawasan mencari makanan untuk burung laut, ikan yu, sotong dan penyu, dalam perjalanan migrasi untuk penyu ‘loggerhead’ dan belimbing dan tempat tinggal kepada koloni burung bangau Cape terbesar di dunia.

Bagaimanapun, saintis dan penyokong pemuliharaan berkata mereka telah menyaksikan perubahan dalam tingkah laku haiwan yang disyaki oleh mereka merupakan kesan aktiviti mengisi minyak, walaupun tanpa tumpahan. – AFP