Operasi Merati: 25 premis perniagaan gagal patuhi arahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Sebanyak 58 buah premis perniagaan telah diperiksa semasa Operasi Merati yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 30 Jun hingga 6 Julai di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, operasi berkenaan dijalankan di restoran-restoran dan kedai gunting rambut di kawasan perniagaan Pusat Membeli-Belah Times Square, Gadong, Telanai, Rimba dan Bandar Seri Begawan di mana pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan mendapati bahawa terdapat 25 buah premis perniagaan tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.

Penguat kuasa kesihatan telah mengambil tindakan ke atas tiga buah premis perniagaan dan telah dikenakan denda kompaun berjumlah $1,200 keseluruhannya. Manakala itu, pengurus premis-premis perniagaan yang selebihnya yang didapati membuat kesalahan-kesalahan ringan telah diberikan amaran serta dicatat dalam rekod rondaan Unit Penguatkuasaan Kesihatan bagi tujuan rondaan dan pemeriksaan susulan pada masa akan datang.

Kenyataan menyatakan bahawa antara kesalahan-kesalahan yang telah didapati daripada operasi tersebut termasuklah tidak memakai penutup mulut dan hidung (face mask) bagi pengendali dan penyedia makanan dan tukang gunting rambut, tidak menyediakan pemeriksaan suhu badan dan tidak ada penjarakan sosial. Operasi Merati bertujuan bagi membuat rondaan dan pemeriksaan terhadap premis-premis perniagaan dalam memastikan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lain dalam pengawalan jangkitan COVID-19 dipatuhi oleh para pengurus dan kakitangan premis.

Ia termasuk perlaksanaan pemeriksaan suhu badan kepada setiap pelanggan, penggunaan kod QR BruHealth, langkah-langkah penjarakan fizikal dan kapasiti kemasukan premis, penggunaan penutup hidung dan mulut serta sarung tangan pakai buang dan penyediaan pensanitasi tangan. Di samping itu, operasi berkenaan telah memberikan nasihat kepada para pelanggan premis untuk menggunakan aplikasi BruHealth (jika didapati tidak menggunakannya) semasa mengunjungi premis dan memberi teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis perniagaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya serta terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

Premis perniagaan diminta untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis mereka dan mencetak kod QR serta dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan dan mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan.