Operasi Merati denda 13 premis

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Sebanyak 13 buah premis perniagaan didapati tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya berjumlah $2,700 semasa beberapa Operasi Merati dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 31 Ogos hingga 6 September di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan denda ialah tidak memakai penutup mulut dan hidung bagi pengendali dan penyedia makanan, tukang gunting rambut dan salon kecantikan serta tiada pemeriksaan suhu badan.

Operasi berkenaan melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan di mana sebanyak 47 buah premis telah diperiksa iaitu terdiri daripada dua buah masjid, 22 buah premis makanan, 18 buah gerai, tiga buah kafe internet, sebuah kedai gunting dan dua buah kedai kecantikan dan kesihatan menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini.

Kenyataan menyatakan bahawa operasi berkenaan dijalankan di kawasan-kawasan Sengkurong, Katimahar, Serusop, Stadium, Kiarong, Kianggeh, Sumbiling dan Masjid Kampung Bengkurong di Daerah Brunei dan Muara; Pekan Belait, Kampung Sungai Teraban, Pandan B dan Masjid Jamalul Alam di Daerah Belait; Bangunan Haji Ali Ahmad dan Tutong Central Mall di Daerah Tutong dan Pekan Bangar di Daerah Temburong.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Unit Penguatkuasaan Kesihatan menyarankan kepada pelanggan-pelanggan premis untuk menggunakan aplikasi BruHealth semasa mengunjungi premis dan memberikan teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis-premis berkenaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis perniagaan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan lainnya terutama memastikan pengendali, penyelia makanan dan kakitangan mereka memakai penutup hidung dan mulut.