Operasi Musang King: 12 lagi diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sebagai tindakan susulan bagi Operasi Musang King, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah menahan 12 lagi individu warga tempatan dari 22 hingga 25 September lalu.

Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan lima perempuan berumur dalam lingkungan 16 hingga 48 tahun. Tujuh daripada mereka termasuk dua pasangan suami isteri telah ditahan di beberapa lokasi berasingan di Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan daripada BKN, di sini, penahanan tersebut adalah kerana suspek disyaki menerima wang tunai berjumlah $72,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah daripada salah seorang tangkapan awal operasi ini menerusi pemindahan ke dalam bank akaun yang dibahagikan sesama mereka.

Turut dirampas dua keping resit dipercayai pembayaran bagi peguam bela yang berkaitan dengan suspek utama dalam operasi ini.

Sementara itu seorang lelaki berumur 21 tahun dari kalangan mereka adalah merupakan ‘runner’ bagi salah seorang ahli keluarga sindiket pengedar yang tertangkap pada operasi BKN pada 10 September lalu.

Manakala dalam satu pemeriksaan yang dijalankan di kediaman di Kampung Parit, Jalan LimauManis, pihak berkuasa telah menemui beberapa paket plastik yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A seberat 14.24 gram yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $2,000.

Jelas kenyataan itu lagi, rampasan lain termasuk satu alat timbangan, beberapa paket kosong, sebilah gunting besi, telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk aktiviti dadah serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada pengedaran dadah.

Dalam pada itu, BKN sekali lagi ingin memberikan amaran kepada orang awam bahawa melibatkan diri atau tindakan melindungi mana-mana individu-individu yang terlibat dalam jenayah ini adalah salah di sisi undang-undang dan juga boleh didakwa di mahkamah bersama-sama suspek-suspek yang terlibat.

Wang tunai yang dirampas semasa operasi tersebut. – Gambar serahan BKN