Operasi Musang King berkas 12 orang lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sebagai tindakan susulan bagi Operasi Musang King, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah menahan 12 lagi individu warga tempatan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima orang perempuan berumur dalam lingkungan 16 ke 48 tahun.

Tujuh daripadanya termasuk dua pasangan suami isteri ditahan di beberapa lokasi berasingan di Daerah Brunei dan Muara.

Turut dirampas ialah dua keping resit dipercayai resit pembayaran bagi peguam bela yang berkaitan dengan suspek utama dalam operasi berkenaan.

Seorang lelaki berumur 21 tahun daripada kalangan yang mereka ditahan merupakan runner bagi salah seorang ahli keluarga sindiket pengedar yang tertangkap pada operasi BKN pada 10 September 2020.

Daripada pemeriksaan yang dijalan-kan di kediaman di Kampung Parit, Jalan Limau Manis telah menemui beberapa paket plastik yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A seberat 14.24 gram yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $2,000.

Rampasan lain termasuk satu alat timbangan, beberapa paket kosong, sebilah gunting besi, telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk aktiviti dadah serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada pengedaran dadah.

Tangkapan tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar, Seksyen 6(a) iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal, Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal, Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 dan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 iaitu atas kesalahan membersihkan wang haram.

Sehubungan dengan operasi-operasi yang berterusan dijalankan, BKN sekali lagi memberikan amaran kepada orang awam bahawa melibatkan diri atau tindakan melindungi mana-mana individu-individu yang terlibat dalam jenayah ini adalah salah di sisi undang-undang dan juga boleh didakwa di mahkamah bersama-sama suspek-suspek yang terlibat.

Sejumlah wang tunai juga ditemui semasa serbuan tersebut.
Operasi Musang King, BKN menemukan beberapa paket plastik yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A seberat 14.24 gram yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $2,000.