Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 27 April – Pencarian Awang Mohammad Haziq bin Haji Awang Harun, 28, yang dilaporkan hilang semasa memancing di Laut Bubut, Telisai, kelmarin, telah diteruskan lagi hari ini oleh beberapa agensi penyelamat.
Antara pihak agensi penyelamat yang terlibat ialah Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPB) serta SAR BSP.
Pada masa ini, JBP bersama Polis Marin, PDB telah mengadakan pusat kawalan bencana sementara (Incident Command Post) di Taman Rekreasi Tumpuan Telisai, Tutong.

Selain pihak agensi penyelamat, penduduk Kampung Telisai dan sekitarnya turut ikut serta mencari mangsa dengan menggunakan ATV di persisiran Pantai Danau, Pantai Telisai sehingga ke Sungai Paku.
Turut hadir dan mengikuti pencarian tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai dan Ketua Kampung Telisai, Haji Maidin bin Wahid.
Ahli keluarga dan rakan mangsa turut hadir bagi menantikan berita terkini dan mendoakan agar mangsa dapat ditemui selain mengadakan sembahyang Sunat Hajat.