Operasi pengangkutan awam dibenarkan 100 peratus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Dengan pengemaskinian garis panduan bagi penggunaan pengangkutan awam semasa wabak COVID-19 yang akan berkuat kuasa 17 Ogos ini, pengusaha pengangkutan awam dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus tempat duduk kenderaan.

Bagaimanapun, para pengusaha pengangkutan awam serta penumpang masih perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof memaklumkan perkara berkenaan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Yang Berhormat Dato menambah, antara garis panduan itu adalah pengusaha-pengusaha hendaklah menyediakan kod QR BruHealth di pintu masuk dan dalam kenderaan di mana penumpang hendaklah mengimbas kod QR BruHealth sebelum menaiki pengangkutan awam.

“Hanya penumpang yang mempunyai kod hijau dan kuning sahaja dibenarkan untuk menaiki pengangkutan awam,” tambahnya.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika berucap pada sidang media berkenaan. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Di samping itu, pemakaian penutup mulut dan hidung adalah dimestikan dalam pengangkutan awam sepanjang perjalanan.

Pemandu (dan konduktor bas) juga disarankan untuk tidak menerima penumpang melebihi kapasiti tempat duduk dan tidak menerima penumpang tambahan untuk berdiri dalam bas-bas pengangkutan awam di sepanjang perjalanan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato mengambil kesempatan menyampaikan penghargaan kepada semua tenaga pengajar sekolah-sekolah memandu dan juga orang ramai khususnya ibu bapa dan calon-calon pemandu atas kerjasama dalam menangani penularan wabak COVID-19 melalui pelan de-escalation sekolah-sekolah memandu di seluruh negara, yang mana pada ketika ini pada fasa keempat.

Beliau berkata, kementerian mengambil maklum bahawa ketika ini terdapat beberapa ujian memandu praktikal yang belum dapat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) disebabkan penutupan sementara yang telah dijalankan baru-baru ini.

“Perkara ini sedang ditangani oleh JPD dengan tambahan jumlah pegawai penguji dan meningkatkan kekerapan sesi ujian memandu, terutama bagi ujian praktikal di Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar, JPD, Kampung Sungai Akar,” tambahnya.

Beliau seterusnya menambah, sesi ujian memandu praktikal akan kembali kepada jadual biasa pada penghujung Ogos ke awal September depan.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bahawa bahawa pelan de-escalation bagi kafe Internet adalah masih dikekalkan pada fasa ketiga.