Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Pulih mulai 4 Okt

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, langkah-langkah pengawalan akan dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 4 Oktober sehingga 17 Oktober ini dengan pelaksanaan strategi tambahan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) memaklumkan pelanjutan dan strategi tambahan tersebut pada sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya, strategi tambahan termasuklah peningkatan pengguatkuasaan dan aktiviti penguatkuasaan oleh oleh agensi penguatkuasaan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan dikeluarkan.

    Beliau juga menekankan bahawa orang ramai adalah disarankan dan diperlukan untuk berada di tempat tinggal masing-masing pada setiap malam daripada jam 8 malam hingga jam 4 pagi.

    “Ini adalah untuk mengurangkan pergerakan serta risiko penularan jangkitan COVID-19.

    Pengecualian hanya diberikan atas urusan-urusan kecemasan dan mendesak atau menjalankan kerja sebagai petugas kritikal (critical frontline workers) sahaja,” tegas beliau.

    Yang Berhormat Dato juga mengharapkan kerjasama dalam kalangan penghulu dan ketua kampung untuk sama-sama memantau penduduk setempat agar terus mematuhi segala arahan-arahan bagi mengawal penularan COVID-19, mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan penjarakan fizikal dan tidak mengadakan majlis-majlis keramaian.

    Jelasnya lagi, talian hotline di Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C) yang beroperasi 24 jam setiap hari disediakan bagi memudahkan orang awam melaporkan sebarang insiden yang didapati melanggar sebarang peraturan atau SOP kepada pihak berkuasa.

    Talian-talian hotline yang dapat dihubungi ialah 8176148, 8175148, 8166148 dan 8155148.

    Langkah yang akan sama-sama diusahakan selama dua minggu itu akan dikenali sebagai Operasi Pulih.

    “Berikutan kenyataan Kementerian Kesihatan semasa sidang media sejak 7 Ogos 2021 mengenai langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan semula disebabkan gelombang kedua COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan serta sukarelawan dan orang awam telah berganding bahu dalam usaha mengawal penularan wabak ini di negara kita.

    “Walau bagaimanapun, jumlah kes positif jelasnya masih belum menurun dan pada masa yang sama, keadaan di pusat-pusat pengasingan semakin mencapai kapasiti yang maksimum di mana pada masa ini penggunaan katil atau ‘bed capacity’ adalah di tahap 78 peratus,” tegas beliau lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan, berdasarkan statistik-statistik yang diperolehi dalam dua bulan kebelakangan ini, didapati jumlah kes-kes positif di dalam gelombang kedua ini kira-kira 75 peratus belum menerima vaksinasi COVID-19; 17 peratus baru menerima satu dos vaksinasi COVID-19; dan hanya 8 peratus telah melengkapkan vaksinasi COVID-19.

    Mengikut statistik yang ada juga, kira-kira 1 peratus pesakit akan mengalami kesan jangkitan yang teruk sehingga memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (dalam kategori 5) dan setakat ini, tidak ada pesakit yang telah melengkapkan vaksinasi di dalam kategori 5.

    “Daripada statistik-statistik berkenaan, ia menunjukkan betapa pentingnya untuk mempercepatkan peningkatan perlindungan melalui vaksinasi. Usaha ini juga adalah penting bagi tidak membebankan sistem penjagaan kesihatan,” tekan beliau.

    Sehubungan itu, beliau menambah bahawa dalam tempoh beberapa minggu ini nanti, kerajaan akan mempertingkatkan usaha dalam memastikan 80 peratus penduduk di Negara Brunei Darussalam akan melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebelum penghujung 2021.

    “Ini merupakan satu usaha yang besar memandangkan tarikh sasaran awal bagi mencapai jumlah 80 peratus tersebut adalah dalam Mac 2022. Insya-Allah Negara Brunei Darussalam akan dapat mencapai sasaran yang disebutkan,” katanya lagi.

    Pada masa yang sama, menurut Yang Berhormat Dato, kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha bagi peralihan secara berfasa agar negara keluar daripada keadaan pandemik.

    “Kita akan berjaya melakukannya apabila semua daripada setiap lapisan masyarakat dan individu di negara ini, berganding bahu, memberikan kerjasama dan sama-sama berusaha dalam membendung penularan jangkitan COVID-19,” tegas beliau.

    Dengan itu, Yang Berhormat Dato menekankan sekali lagi kepada orang ramai untuk tidak meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan kecemasan atau mustahak dan bagi yang bekerja seboleh-bolehnya mempraktikkan ‘work from home’.

    “Insya-Allah, sesudah jumlah kes-kes positif COVID-19 mula menurun, ianya akan dapat mengurangkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan negara kita dan dapat memberikan keutamaan dari segi sumbangan sumber tenaga disalurkan untuk menjayakan program vaksinasi di negara kita,” tambahnya.

    Menurut beliau lagi, Operasi Pulih dengan strategi-strategi yang dilaksanakan dihasratkan akan dapat mengawal risiko penyakit yang disebabkan jangkitan COVID-19 dan lebih penting lagi, memulihkan kehidupan seharian pasca COVID-19 agar kembali kepada normal sekali gus memulihkan keadaan ekonomi negara yang telah terjejas disebabkan pandemik.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda