BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh (LED) menahan dua orang warga asing yang didapati bekerja tidak mengikut penempatan dan penyalahgunaan jawatan kerana melakukan pekerjaan memotong rumput ke rumah-rumah persendirian, baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Buruh kelmarin, pada Operasi Sanggah 200/202 di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak 7 Oktober lalu, tiga orang pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang LED telah menjalankan peme-riksaan di kawasan tersebut bagi memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi para majikan.
Bagi kesalahan pekerja tidak mengikut penempatan, majikan melanggar akta di bawah Bab 86, Perintah Pekerjaan 2009 dan melakukan kesalahan di bawah Bab 87 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $3,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan penya-lahgunaan jawatan, pekerja tersebut telah melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing di bawah Bab 112(1), Perintah Pekerjaan 2009, jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112(3) Perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja dan menasihatkan majikan tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing serta melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.