Operasi Sanggah pastikan kebajikan pekerja terjaga

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, baru-baru ini, telah menjalankan Operasi Sanggah 67/2020 bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan pekerja dijaga oleh majikan selaras dengan syarat Lesen Pekerja Asing dan Perintah Pekerjaan 2009 terutama tempat-tempat penginapan di saat negara mengalami penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, operasi pada petang 9 Mei lalu di perumahan pekerja asing, Kampung Orang Kaya Besar Imas itu bermatlamat bagi menguatkuasakan peraturan dan undang-undang iaitu Perintah Pekerjaan 2009.

Kenyataan menekankan, menjadi tanggungjawab para majikan untuk mematuhi Perintah Pekerjaan 2009, di bawah Bab 80 iaitu menyediakan dan menyelenggarakan bagi pekerja-pekerjanya tempat tinggal yang bersih dan selamat, termasuk kesihatan dan penjagaan perubatan.

Majikan yang gagal berbuat demikian, melakukan kesalahan di bawah Bab 87 akan didenda di bawah Bab 148 iaitu denda tidak lebih $3,000, penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Buruh di talian 2381848 pada waktu pejabat dan talian hotline 7298989 selepas waktu bekerja jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Pekerja Asing atau sebarang pertanyaan mengenai isu perburuhan.

Antara kediaman yang diperiksa pada Operasi Sanggah 67/2020 oleh Jabatan Buruh bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan pekerja dijaga. -Gambar serahan Jabatan Buruh