Operasi SANGGAH peduli kebajikan pekerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa buah syarikat di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait dalam Operasi SANGGAH 92/2020, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan di kawasan Bangunan Perniagaan Kampung Lambak Kanan di Daerah Brunei dan Muara serta Kampung Pandan dan Jalan Maulana di Daerah Belait itu dimulakan pada jam 9 pagi dengan melibatkan empat pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh.

Semasa operasi itu, pemeriksaan telah dilaratkan ke tempat tinggal pekerja bagi memastikan keselesaan, kebersihan dan keselamatan tempat tinggal pekerja dipatuhi oleh majikan dan seterusnya dalam menghindari penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam kenyataannya yang diterima hari ini juga mengingatkan kepada majikan untuk memastikan mereka tidak menyalahi peruntukan di bawah Perintah Pekerjaan 2009, seperti memberi pekerja rehat satu hari dalam satu minggu, bekerja melebihi lapan jam sehari dengan tidak dibayar kerja lebih masa, kesalahan penempatan pekerja tidak mengikut kebenaran Lesen Pekerja Asing (LPA) serta penyalahgunaan jawatan.

Kesalahan menempatkan pekerja tidak mengikut kebenaran LPA adalah melanggar akta di bawah Bab 86 dan telah melakukan kesalahan di bawah Bab 87 dan jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Bab 148 tidak melebihi $3,000 dan penjara tidak lebih dari satu tahun atau kedua-keduanya sekali.

Manakala itu, bagi kesalahan penyalahgunaan jawatan pekerja adalah melanggar syarat-syarat LPA di bawah Bab 112(1), jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112(3) Perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi kesalahan majikan yang menyediakan tempat tinggal tidak memuaskan adalah terkandung di bawah Bab 80, Perintah Pekerjaan 2009 dan majikan yang gagal berbuat demikian telah melakukan kesalahan itu di bawah Bab 87 akan didenda di bawah Bab 148 iaitu denda tidak lebih daripada $3,000, penjara tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan LPA atau sebarang pertanyaan mengenai isu perburuhan bolehlah menghubungi talian Jabatan Buruh iaitu 2381848 pada waktu pejabat dan talian Hotline iaitu 7298989 selepas waktu bekerja.

Operasi Sanggah dijalankan di kawasan Bangunan Perniagaan Kampung Lambak Kanan di Daerah Brunei dan Muara serta Kampung Pandan dan Jalan Maulana di Daerah Belait. – Gambar serahan Jabatan Buruh