Operasi ‘Sapu Bersepadu’ kesan 26 kes

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Daripada 109 warga asing yang disiasat dalam operasi ‘Sapu Bersepadu’ baru-baru ini, 13 daripadanya melibatkan kes di bawah imigresen, 11 kes kastam, satu kes buruh dan satu lagi di bawah Bahagian Penguatkuasaan Ugama.

Operasi melibatkan 131 anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais, Biro Kawalan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Ugama dan Jabatan Buruh itu dijalankan pada 9 Julai dan menyasarkan rumah-rumah sewa di Jalan Berangan, flet dan bilik-bilik sewa di ibu negara.

Operasi yang bermula jam 11:50 malam dan berakhir kira-kira jam 2:45 pagi keesokan harinya itu bertujuan menguatkuasakan akta dan peraturan yang berkaitan, dengan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing selain menguatkuasakan perintah pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dalam kenyataannya akan terus menjalankan operasi sama ada secara persendirian atau bersama-sama agensi penguatkuasaan lain di negara ini.

Jabatan turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan sebarang maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi penguat kuasa imigresen di talian 8753888 dan 8734888.

Maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan.