Operasi sepadu catat 25 kesalahan

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 20 SEPT – Satu operasi sepadu sekatan jalan raya telah dijalankan oleh keanggotaan Daerah Polis Belait bersama Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan juga Biro Kawalan Narkotik (BKN) di kawasan Sungai Liang, Daerah Belait.

Sekatan jalan raya yang dikendalikan pada sekitar jam 8 malam tersebut diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalu Lintas Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Alvin Goh dan melibatkan sejumlah 50 orang keanggotaan dan ahli daripada agensi-agensi penguatkuasa undang-undang.

Daripada operasi yang dijalankan telah mendapati 25 kesalahan dilakukan yang melibatkan nombor plat pendaftaran kenderaan kabur, tayar kenderaan botak, lesen kenderaan mansuh, memasang tabir, kesalahan memiliki barang tegahan seperti rokok tanpa permit, kesalahan pengubahsuaian kereta, memasang atap dan kerusi tanpa kebenaran, membuka kerusi tanpa kebenaran, kerusi rosak atau koyak dan lain-lain lagi.

Adapun tujuan utama operasi dijalankan adalah bagi memastikan para pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di samping menjalankan tugasan memantau, mencegah serta menahan jika ada sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang.

PPDB bersama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa memastikan undang-undang dipatuhi orang ramai.

Operasi sepadu sekatan jalan raya telah dijalankan oleh keanggotaan Daerah Polis Belait bersama Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, PPDB, JPD, JKED dan BKN di kawasan Sungai Liang, Daerah Belait baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB