Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Lapan orang lelaki warganegara China telah dikeluarkan notis penyitaan kerana didapati memiliki barang tegahan semasa Operasi Sepadu Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan Pulau Muara Besar, semalam.
Kesemua mereka yang didapati memiliki lebih 10 karton rokok pelbagai jenama dan tiga tin minuman keras telah diarahkan untuk hadir ke Unit Siasatan dan Pendakwaan (USP) untuk siasatan lanjut.
Menurut kenyataan PPDB, dua lelaki warganegara China juga telah ditahan dan dibawa terus ke pejabat unit berkenaan kerana disyaki memiliki barang tegahan termasuk 24 tin minuman keras yang dikeluarkan notis penyitaan atas nama Liu Xi Xi dan tiga karton 10 paket rokok serta 17 botol minuman keras yang dikeluarkan notis penyitaan atas nama Qv Xiu Mang. Operasi yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan, Penolong Penguasa Polis Mohd ‘Izzuddin Hanis bin Haji Mohd Salleh itu melibatkan seramai 41 orang anggota PPDB dan JKED.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Serasa, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Othman@Osman dan seorang ahli pengawasan kejiranan.
Operasi berkenaan adalah usaha berterusan Balai Polis Muara bersama JKED dalam membanteras dan membendung jenayah pada masa ini demi menjaga keselamatan dan keharmonian negara.
Sokongan berterusan yang melibatkan agensi lain untuk membantu usaha sedemikian adalah untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan masyarakat serta demi keamanan, kesejahteraan dan keselesaan masyarakat setempat.