Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Sebanyak enam kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 didapati dilakukan oleh majikan kepada pekerja-pekerja tempatan semasa pemeriksaan yang telah dijalankan bagi kegiatan menjual telefon bimbit dan aksesori di kawasan Kampung Jaya Setia semasa Operasi Siaga 288/2024 oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh baru-baru ini.
Kesalahan-kesalahan tersebut adalah Bab 10, majikan tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis; Bab 39, gaji pekerja lambat dibayar; Bab 44, membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan; Bab 70, gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan; Bab 71, gagal memberikan cuti tahunan; dan Bab 72, gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan dan akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya gagal membayar kompaun tersebut.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan yang ditandatangani oleh majikan dan pekerja, majikan hendaklah memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan, memberikan cuti tahunan berbayar dan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan hendaklah dibayar oleh majikan.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).