Operasi Sukarelawan kumpul 78 pain darah

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Sejumlah 78 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah selama dua hari anjuran Operasi Sukarelawan COVID-19 dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Pada hari kedua kempen yang berlangsung di Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, hari ini, sebanyak 38 pain darah telah berjaya dikumpulkan.

Kempen itu dihasratkan untuk menyokong usaha-usaha pihak hospital dalam mengekalkan bekalan darah yang mencukupi.

Setiap penderma telah ditetapkan selama 30 minit untuk menderma darah. Ini adalah untuk menerapkan penjarakan sosial dan mengelakkan daripada memenuhi kawasan berkenaan sebagai satu langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama.

Sekretariat Perkhidmatan Komuniti dan Kebajikan COVID-19 mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan sokongan yang berterusan dalam sama-sama menangani wabak COVID-19.

Antara yang menderma darah pada kempen tersebut.