Operasi temui rokok, minuman keras

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Minuman keras dan rokok pelbagai jenama telah ditemui semasa pemeriksaan ke atas dua buah kereta dan rumah dalam operasi rondaan pencegahan jenayah di sebuah rumah di kawasan Sungai Bakong, Daerah Belait, baru-baru ini.

Operasi yang dilakukan bersama pihak polis dan Pengawasan Kejiranan (PK) Balai Polis Sungai Liang disertai Pemangku Ketua Kampung Lumut 1, Haji Abdul Aziz bin Haji Gani telah berhasil membuat penemuan barangan tegahan tersebut setelah menemukan dua buah kereta yang mencurigakan.

Setelah pemeriksaan dijalankan ke atas kedua-dua kereta tersebut, pihak polis menemui beberapa botol dan tin minuman keras serta beberapa karton rokok yang juga ditemui di dalam rumah terbabit.

Dengan penemuan tersebut, kereta dan barang-barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Liang dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Memang tidak dinafikan lagi operasi seumpamanya boleh mencegah dan membanteras segala kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan persekitaran kampung jika adanya semangat dan kerjasama ahli PK serta masyarakat negara ini.

PDB melalui Program PK dengan matlamat utamanya ‘Mencegah Jenayah Bersama Masyarakat’ akan sentiasa berusaha menambah baik dan mempertingkatkan lagi strategi bagi menarik orang ramai untuk ikut serta dalam PK dalam sama-sama bertanggungjawab menjaga dan mengawasi kediaman serta kampung masing-masing.