Operator pelancongan perlu ada lesen – MOTAC

SEMPORNA, 21 Jan – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah akan menguatkuasakan peraturan tegas dengan menyekat akses pengusaha pelancongan tidak berlesen termasuk penggunaan jeti pelancong serta membawa pelancong ke pulau-pulau dalam Taman-Taman Sabah di sini, mulai esok.

Pengarahnya, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata perkara itu antara langkah awal membanteras aktiviti ulat pelancongan sekali gus membantu pengusaha berlesen yang membayar cukai kepada kerajaan kekal relevan serta Semporna terus menjadi destinasi pilihan pelancong dunia.

“Mereka (pihak di jeti pelancongan atau Taman-Taman Sabah) cuma akan menerima operator pelancongan berlesen sahaja.

Sekiranya terdapat aktiviti daripada operator pelancongan tidak berlesen maka kita akan mengenakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi keterlibatan Pejabat MOTAC bersama penggiat industri pelancongan Semporna di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh mengenai penguatkuasaan peraturan dilaksana MOTAC.

“Kita melihat kepentingan penguatkuasaan ini dari segi industri pelancongan itu sendiri kerana pemegang lesen adalah pembayar cukai kerajaan manakala operator tidak berlesen ini terkecuali daripada membayar cukai dan ini kita anggap satu kerugian pada kerajaan.

“Kita akan banteras perkara ini secara bersepadu bersama MOTAC dan agensi lain untuk menguatkuasakan peraturan dan setiap pengusaha pelancongan perlu menggunakan laluan-laluan dan peraturan ditetapkan,” katanya lagi. Sehubungan itu, Bianus berkats pengusaha pelancongan tidak berlesen disaran segera memohon lesen dengan MOTAC.

Program Motac hari ini turut melibatkan sesi dialog bersama 150 pengusaha pelancongan di samping pengenalan kepada Persatuan Pelancongan Semporna yang dinaungi Bianus serta pengerusinya, Jamilah Ang. – Bernama