KETIKA di Malaysia kecoh dengan isu perkahwinan Hafiz Hamidun, di Indonesia pula hangat memperkatakan tentang penyanyi yang popular dengan lagu-lagu ketuhanan iaitu Opick sudah berkahwin kali kedua secara senyap.
Penyanyi itu dikatakan bernikah dengan seorang wanita bernama Wulan tanpa pengetahuan isteri pertama iaitu Dian Rositaningrum.
Perkara itu diketahui selepas beberapa foto yang tersebar menunjukkan penyanyi lagu Rapuh itu memeluk dan mencium seorang wanita.
Tidak lama selepas itu, isteri penyanyi berkenaan, kemudian memfailkan perceraian selepas kecewa dengan perkara tersebut. Sebelum itu, Dian turut meluahkan perasaan di laman sosial tentang poligami yang dilakukan suaminya secara sembunyi.
“Bagaimana semua isteri harus menerima imam yang berpoligami secara sembunyi-sembunyi. Adakah dengan secara terbuka anda takut dihalangi sedangkan poligami seharusnya untuk kebaikan.
“Adakah anda tidak yakin dengan kebaikan dalam pernikahan sehingga sanggup melakukannya secara diam-diam,” ujarnya.