Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Ops Bersih: 15 kena kompaun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Dua buah syarikat dan 13 orang individu telah dikenakan kompaun berjumlah $2,900 keseluruhannya bagi pelbagai kesalahan semasa operasi yang dijalankan Bahagian Penguat-kuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) termasuk dua yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBBSB, semasa Operasi Bersepadu Bersih 19/2022 yang dilaksanakan bersama JPD pada 25 Ogos lalu, enam buah kenderaan juga telah dipindahkan ke tapak pelupusan yang disediakan.

    Daripada jumlah itu, empat kenderaan di kawasan Berakas dan dua kenderaan di kawasan Gadong.

    Dua buah syarikat dan seorang individu telah dikenakan tindakan kompaun berjumlah $1,500 di bawah Bab 12 (1) (d), Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan), 2021, Penggal 30 iaitu meninggalkan kenderaan terbiar di tempat letak kereta awam.

    Manakala itu, dalam Operasi Bersih 20/022 pada 29 Ogos, kompaun berjumlah $900 telah dikeluarkan ke atas tujuh individu bagi kesalahan di bawah Bab 12 (1) (a) dan 12 (1) (d) iaitu melonggokkan sampah binaan dan membuang puntung rokok di sekitar premis perniagaan di kawasan Gadong.

    Manakala itu, semasa Operasi Bersepadu Bersih 21/022 yang dilaksanakan bersama JKED pada 1 September lalu, kompaun berjumlah $500 telah dikenakan ke atas lima individu bagi kesalahan di bawah Bab 12 (1) (a) dan 12 (1) (d) iaitu membuang abu dan puntung rokok di kawasan awam sekitar Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan.

    Dalam operasi itu, JKED telah mendapati enam orang individu melakukan kesalahan di bawah Bab 146, Perintah Eksais 2006, kerana memiliki barang-barang tegahan seperti rokok dan vape.

    Kesemua individu dan syarikat berkenaan dikehendaki membayar kompaun yang dikenakan dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal akan mengakibatkan kes dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar bagi menjaga kemaslahatan seluruh Negara Brunei Darussalam.

    Untuk aduan dan perkongsian maklumat yang berkaitan boleh disalurkan ke Talian Darussalam 123, WhatsApp di talian 8333123 atau hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang di talian 7291122.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...