Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Sebanyak 15 buah syarikat dan 51 individu telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan) 2021 sepanjang Operasi Bersih yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) dari awal Januari hingga Jun lalu.
Menurut JBBSB, antara kesalahan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkenaan termasuk meninggalkan sampah-sampah binaan dan perniagaan, meninggalkan dan membuang bekas alat perkakas kenderaan dan membuang sisa cecair ke dalam longkang, di kawasan Kompleks Berakas, Bangunan Madang Complex, Kampung Bunut, Kampung Kiulap, Kampung Mabohai, premis-premis Kampung Serusop dan Pancha Delima.
Manakala itu, individu-individu yang dikenakan tindakan termasuk 20 orang warganegara Brunei, empat penduduk tetap, enam warga Bangladesh, dua warga Filipina, enam warga India, tujuh warga Indonesia, tiga warga Malaysia, seorang warga Singapura, seorang warga Myanmar dan seorang warga China.
Mereka diambil tindakan kerana membuang sampah binaan dan perniagaan serta puntung rokok di sekitar premis-premis dan gedung perniagaan di kawasan Gadong, Kampung Menglait Gadong, Kampung Serusop, Berakas, Kiulap dan Kampung Bunut.
Kadar denda kompaun bagi mana-mana individu atau badan korporat yang ditawarkan denda kompaun bagi kesalahan di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan di bawah Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) yang ditetapkan sebagai kesalahan yang boleh dikenakan denda kompaun adalah tidak melebihi $1,000 bagi individu manakala itu, bagi badan-badan korporat boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $2,000.
Bagi kesalahan-kesalahan individu dan badan-badan korporat yang gagal menjelaskan kompaun, mereka boleh diambil tindakan melalui mahkamah.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar bagi menjaga kemaslahatan seluruh Negara Brunei Darussalam.